Mapim bina Perkampungan Ummah di Syria - Utusan Malaysia

Mapim bina Perkampungan Ummah di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 3 April- Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan membina sebuah Perkampungan Ummah di Idlib, Syria khas untuk pelarian di negara terbabit dengan kos sebanyak RM3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata, sebanyak 100 buah rumah akan dibina di perkampungan itu selain sekolah, masjid, klinik bergerak dan taman permainan.

Beliau berkata, pembinaan perkampungan tersebut dijangka mengambil masa kira-kira tujuh bulan dan pihaknya yakin segala urusannya akan berjalan lancar termasuk dalam aspek keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkampungan ini dapat memuatkan kira-kira 100 keluarga pelarian Syria, sekolah pula boleh menempatkan sebanyak 3,000 pelajar termasuk mereka dari sekitar Idlip dan sempadan Turki.

“Kami pilih Idlip untuk bina perkampungan ini ialah kerana kawasan itu selamat, kebanyakan keluarga di situ tiada rumah dan pastinya inisiatif ini memberi khabar gembira kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum berlepas untuk misi kemanusiaan musim sejuk Mapim ke Syria di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Majlis pelepasan misi kemanusiaan musim sejuk Mapim ke Syria yang melibatkan sebanyak 13 orang sukarelawan itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya.

Menurut Ahmad Sani, pelbagai kelengkapan lain turut disediakan di perkampungan yang akan dibina itu termasuk 15,000 selimut untuk musim sejuk, empat kontena makanan dan dua buah ambulans.

Selain itu katanya, selain ke Syria, misi Mapim kali ini turut akan ke Lubnan untuk menghulur bantuan bernilai RM500,000 kepada pelarian Syria yang tinggal di kawasan pergunungan yang diliputi salji.

“Selepas ke Lubnan, kita akan ke Turki untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai agensi di negara terbabit berhubung beberapa perkara termasuk pendidikan,” katanya.

Sementara itu katanya, misi bantuan itu melibatkan dana sebanyak RM5 juta hasil sumbangan rakyat Malaysia namun, jumlah itu masih kurang RM3 juta dari sasaran awal.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad gembira apabila ada kumpulan rakyat Malaysia yang sanggup ke Syria dan rancang penempatan untuk pelarian negara terbabit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini