KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin tanpa berselindung meluahkan kegembiraan apabila Malaysia dapat menganjurkan Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (World Football Summit) Asia dengan berjaya meskipun ia merupakan kali pertama dipilih menjadi tuan rumah.
Dalam pada itu, Hamidin menjelaskan pujian wajar diberikan kepada Presiden FAM terdahulu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ekoran WFS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 29 dan 30 April merupakan cetusan ilham baginda ketika menerajui badan induk bola sepak negara.
“Saya gembira dapat merealisasikan WFS Asia ini menjadi kenyataan meskipun ini merupakan pertama kali Malaysia menjadi tuan rumah.
“Apa pun kredit harus diberikan kepada Presiden FAM terdahulu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana WFS Asia ini merupakan inisiatif dan ilham baginda dari segi perancangan sehinggalah terjadinya hari ini.
“Saya sebagai presiden baharu hanya melangsungkan sahaja idea baginda kerana WFS ini penting untuk semua sebagai usaha untuk membina hubungan bersama pihak luar serta banyak potensi yang boleh diperolehi sepanjang dua hari seminar berlangsung.
“Persidangan seperti ini bagus untuk menaikkan bola sepak Malaysia selain membuka peluang Ahli Gabungan FAM untuk belajar mengenai penstrukturan liga mahupun kelab untuk beroperasi dengan lebih profesional.
“Melihat sambutan yang diterima sangat positif, FAM berhasrat untuk membida sekali lagi agar WFS Asia dapat dilangsungkan di Kuala Lumpur pada edisi tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita di WFS sebentar tadi. – K! ONLINE











