Majikan, dua pekerja ditahan jual barangan tiruan - Utusan Malaysia

Majikan, dua pekerja ditahan jual barangan tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 April – Dua wanita ditahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Petaling Jaya kerana menjual kasut tiruan di sebuah kompleks beli-belah di PJS11, Petaling Jaya, dekat sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Petaling Jaya, Kamaruddin Mohammad Yassin berkata, serbuan Op Barang Tiruan itu dilakukan enam pegawai penguatkuasa KPDNHEP Petaling Jaya dengan disertai dua wakil cap dagang pemilik di negara ini kira-kira pukul 12.45 tengah hari.

“Dalam operasi tersebut, kita telah menahan seorang wanita tempatan serta wanita warganegara Indonesia yang masing-masing berusia 32 dan 54 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita turut menahan pemilik premis berkenaan dan merampas kasut serta selipar pelbagai jenama seperti Puma, Nike, Louis Vuitton (LV) yang masih belum dianggarkan nilai serta jumlahnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kamaruddin, hasil siasatan mendapati kasut serta selipar yang dijual itu diperoleh dari luar negara seperti dari China, Thailand dan Vietnam dengan harga kurang RM30 bagi sepasang kasut.


Jelasnya, barangan tiruan itu kemudian dijual pada harga RM19 hingga RM200 sepasang sama seperti harga barangan tulen.

“Kedua-dua wanita berkenaan ditahan mengikut Seksyen 39(1) Akta perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 8(2)b Akta yang sama kerana menjual barangan tiruan dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap barangan tiruan dimiliki atau penjara tidak lebih tiga tahun,” katanya.

Tambahnya, KPDNHEP kini tidak akan berkompromi dengan peniaga barangan tiruan dan akan mengambil tindakan menahan mereka mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini