KALAU kita sebut nama Tok Mat di pekan Rantau, semua penduduk di situ tahu siapa individu yang dimaksudkan. Tidak ada Tok Mat lain dalam pengetahuan mereka – orangnya tinggi, berkumis dan mesra.
Baik orang Cina, India apatah lagi Melayu, sudah kenal benar dengan pemilik nama Datuk Seri Mohamad Hasan itu. Beliau wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau sejak 2004 dan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dalam tempoh sama.
Disebabkan sinonimnya Tok Mat dan Rantau, tidak hairanlah ada penduduk yang menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April sebagai maruah orang Rantau.
Ini kerana Tok Mat dicabar oleh ‘orang luar’ iaitu seorang pakar bius, Dr. S. Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH). Streram berasal dari Johor dan lebih banyak bergiat aktif di Selangor sebelum muncul di Rantau kira-kira tiga tahun lalu.
Dengan kekuatan jentera yang ada, PH kini sedang mengasak dan mengerumuni DUN N27 itu dengan matlamat menumbangkan anak jati Rantau itu.
Tok Mat diasak bertalu-talu dan diserang secara peribadi. Pelbagai isu diselongkar, direka-reka dan diungkit untuk mengaibkannya.
Hartanya dipersoalkan sedangkan isu itu tidak perlu dibangkitkan kalau mereka tahu latar belakangnya. Tok Mat telah menjadi ahli korporat berjaya di peringkat antarabangsa sebelum dibawa ke arena politik oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004.
Orang Rantau sudah lama tahu cerita kejayaan Tok Mat, cuma orang luar yang bising dan sengaja mengapi-apikan isu tersebut dengan niat memburukkan imej beliau.
Orang luar tidak perlu bersusah payah menabur fitnah kepada pemimpin yang telah berjasa selama 14 tahun membangunkan Rantau dan negeri ini.
Kemenangan Tok Mat penting bagi memastikan ada wakil rakyat yang berpengaruh dan boleh mewakili mereka untuk menegur kerajaan pada hari ini.
Dalam konteks lebih besar, beliau ketika ini memimpin gelombang kebangkitan semula UMNO dan Barisan Nasional selain menjadi harapan sebahagian besar rakyat yang mula bosan dengan janji-janji kosong PH.
Orang Rantau sedar mereka bukan hanya mengundi untuk Rantau, tetapi undi mereka juga penting bagi hala tuju politik tanah air. Mereka akan keluar mengundi 13 April ini dengan mewakili harapan jutaan rakyat Malaysia lain. – UTUSAN ONLINE











