KUALA LUMPUR 3 April – Kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof untuk meneruskan operasi kilang memproses Nadir Bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) sekali lagi mendapat tentangan.
Kali ini, tentangan itu datang daripada Jawatankuasa Kaukus Parlimen Pantau Lynas (JKPPL) yang menegaskan operasi kilang tersebut tidak boleh diteruskan selagi syarat-syarat pengurusan sisanya tidak dipatuhi seperti ditetapkan.
Jawatankuasa itu memberitahu, kenyataan dikeluarkan Mohd. Redzuan baru-baru ini amat mengejutkan dan ternyata bercanggah dengan pendirian serta keputusan kementerian termasuklah sebahagian besar Ahli-ahli Parlimen yang merupakan pembuat-pembuat dasar.
“Kami berdiri teguh menyokong pendirian Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini dalam isu pengurusan dua residu utama iaitu WLP (Water Leach Purification) sebanyak 451,564 tan metrik dan NUF (Neutralization Underflow Residue) 1.113 juta tan metrik masing-masing yang terkumpul di Kilang Lynas sejak tahun 2012.
“Kementerian itu telah memberi dua pra-syarat ke atas Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) untuk permohonan lesen atau kelulusan baharu, namun kedua-dua pra-syarat itu tidak diambil serius. Bahkan awal Mac baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze dilaporkan mengakui bahawa Lynas tidak mampu dan tidak mempunyai sebarang niat membawa sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif (NORM) keluar dari Malaysia.
“Pengakuan itu juga memperlihatkan bahawa janji mereka sangat bercanggah dalam Letter of Undertaking antara Lynas Corporation Ltd Australia dan Lynas Malaysia Sdn. Bhd., bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012 yang menyatakan komitmen tersebut,” kata JKPPL dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh turut mengeluarkan kenyataan bahawa projek Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang menjejaskan penduduk kampung yang tinggal berhampiran sebelum menempelak Mohd. Redzuan tiada locus standi untuk mengulas lanjut mengenai pelaburan kilang itu. – UTUSAN ONLINE











