JOHOR BAHRU 2 April – Kementerian Pendidikan bercadang melonggarkan syarat laluan khas untuk pelajar Bahagian Pendidikan Khas (BPK) yang berminat melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Guru (IPG).
Pengarah BPK, Datuk Dr. Yasmin Hussain berkata, laluan khas itu adalah merangkumi budi bicara pihak kementerian terbabit untuk melonggarkan sedikit syarat permohonan dan penetapan gred akademik yang diperlukan.
“Dalam kita punya kemasukan, laluan khas bagi anak-anak ini yang mohon untuk masuk IPG atau maktab perguruan memang kita tetapkan enam kredit dan Bahasa Inggeris lulus. Cuma tahun ini ditetapkan Bahasa Inggeris itu perlu mendapat kepujian pula.
“Jadi tahun ini, barulah nak dimulakan kepujian Bahasa Inggeris itu kita mahu mohonlah ada laluan yang mana pemohon yang hanya lulus juga dibenarkan tetapi tidak semestinya diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Kongres Autisme Johor 2019 di Berjaya Waterfront, di sini hari ini.
Yasmin berkata, apa sebenarnya yang mahu dilaksanakan kementerian adalah melahirkan pendidik yang mempunyai kompetensi terbaik dalam penggunaan Bahasa Inggeris.
“Jadi sekiranya pemohon sudah memasuki IPG atau maktab perguruan dengan gred itu tetapi belum mencapai tahap kompetensi yang diperlukan, mereka mungkin boleh menduduki kertas ujian bahasa itu sehingga mereka dapat tingkatkan kemampuan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











