LONDON 24 April – Liverpool, hari ini, mengumumkan jelajah pra musim mereka ke Amerika Syarikat (AS) pada Julai nanti sebagai persiapan bagi menghadapi musim 2019/20.
Kelab itu yang sedang terdesak dan bersaing hebat untuk memburu kejuaraan liga musim ini dengan Manchester City dijadual mengadakan tiga perlawanan persahabatan sepanjang jelajah tersebut.
Selain menentang kelab Jerman yang pernah dibimbing pengurus mereka, Jurgen Klopp iaitu Borussia Dortmund di Indiana pada 19 Julai, Liverpool juga akan bertemu kelab Sepanyol, Sevilla di Boston pada 21 Julai.
Ini diikuti aksi persahabatan ketiga menentang kelab Portugal, Sporting Lisbon di New York pada 24 Julai. Sebagai rekod, pemilik Liverpool iaitu Fenway Sport Group berasal dari AS.
“Kami akan mengunjungi tiga lokasi hebat tahun ini yang memiliki stadium hebat serta mempunyai sejarah warisan tersendiri. Selain itu, tiga pasukan hebat juga akan menanti kami,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai komersil Liverpool, Billy Hogan. – AFP











