BARCELONA 30 April – Bekas bintang Liverpool, Luis Suarez mengakui The Reds mempunyai masa depan yang cerah, namun tidak bermakna penyerang Barcelona akan memberikan belas kasihan kepada bekas kelabnya itu.
Barcelona dan finalis Liga Juara-Juara (UCL) tahun lalu, Liverpool bakal bertembung dalam aksi separuh akhir pertama dan menyaksikan perjumpaan semula buat Suarez bersama bekas kelabnya itu di Nou Camp esok.
Suarez, yang bersama Liverpool selama tiga tahun, menjuarai Piala Eropah sebelum menyertai gergasi LaLiga itu pada 2014.
Di bawah kendalian Jurgen Klopp, Liverpool telah menjadi ancaman dalam saingan Liga Perdana Inggeris dengan memberikan tentangan sengit kepada Manchester City dalam perubatan takhta liga.
“Liverpool kini memiliki masa depan yang cerah sekali lagi. Persaingannya sangat sengit di England musim ini dan mustahil untuk menentukan juara buat masa ini.
“Tetapi mereka memiliki masa depan yang cerah. Apabila kami hampir muncul juara dan kekecewaan gagal melakukannya terlalu tinggi, saya berasakan ia merupakan peluang terbaik dan sukar untuk kembali ke tahap itu.
“Tetapi Liverpool kini memiliki skuad serta pelaburan yang dilakukan bukan sekadar bertahan selama satu musim tetapi mempunyai masa depan yang panjang,” katanya kepada The Express.
Walaupun tidak lagi bersama Liverpool namun Suarez menegaskan bahawa kelab itu sentiasa di hatinya.
“Liverpool akan sentiasa menjadi penting buat saya, mereka telah memberikan saya peluang serta sebahagian daripada perkembangan karier saya. – AGENSI











