LONDON 23 April – Liverpool akan terus berjuang menempuh segala cabaran bagi memastikan misi meraih gelaran Liga Perdana Inggeris mampu dicapai terutama dalam minggu penuh getir buat pasukannya.
Pemain tengah Liverpool, Jordan Henderson berpendapat, lebih banyak cabaran bakal menanti Reds sehingga penghujung musim ini.
Ketika ini, Liverpool berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris dengan 88 mata selepas 35 perlawanan, namun, kedudukan tersebut masih belum selamat buat pendahulu liga itu kerana mampu dipintas oleh Manchester City yang mengumpul 86 mata selepas 34 perlawanan.
Aksi City menentang Manchester United pada Khamis ini akan menjadi penentu sama ada Liverpool mampu kekal sebagai pendahulu pada minggu ini atau sebaliknya.
Kata Henderson, dia optimis Liverpool mempunyai peluang cerah untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris, musim ini, biarpun sedar City tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka.
“Ini semua adalah ujian yang berbeza buat kami dan saya berasakan kami telah mengharunginya dengan baik. Kini kami perlu terus percaya, mengekalkan keyakinan dan memenangi sebanyak mungkin perlawanan yang boleh.
“Kami sedar ia (City menentang United) akan menjadi perlawanan yang sukar. Pertemuan itu meraih tumpuan ramai, jadi kami tahu ia akan menjadi sukar, namun, secara jujurnya, ia peluang yang seimbang buat kedua-dua pasukan.
“Keadaan amat sukar, namun, saya berasakan kami telah melaluinya dengan amat baik dengan meraih kemenangan selepas meraih kejayaan besar di Porto dalam aksi Liga Juara-Juara. Mereka berjuang untuk hidup mereka, jadi kami sedar ia akan menyukarkan kami.
“Kami perlu bersabar dan terus mencari peluang ketika perlu memastikan barisan pertahanan sentiasa teratur,” kata Henderson.
Pada Ahad lalu, Liverpool meraih kemenangan 2-0 ke atas Cardiff City dan selepas ini akan meneruskan kempen liga menentang Huddersfield Town, Sabtu ini. – AGENSI











