BARCELONA 30 April – Philippe Coutinho memberi amaran kepada Barcelona bahawa Liverpool mampu memberikan ancaman besar lebih daripada sekadar jentera serangan mereka semata-mata.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Camp Nou bagi saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.
Ketika Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino menjadi fokus utama The Catalan, Coutinho memuji kecemerlangan barisan tengah dan pertahahan Jurgen Klopp yang dilihat begitu serasi.
Bintang Brazil itu sebelum ini berada di Anfield selama lima tahun dan bersama pasukan itu dia muncul naib juara Piala EFL dan Liga Europa tetapi sejak itu, Liverpool muncul sebagai antara pasukan terkuat Eropah di bawah kendalian Klopp.
“Mereka pasukan yang hebat. Merek cukup kuat dari segi mental.
“Saya melihat mereka sepanjang musim ini dan mereka sangat bagus dari segi serangan dan pertahanan, jadi kami perlu berhati-hati.
“Pemain utama mereka bukan sekadar tiga pemain (Salah, Mane dan Firmino) sahaja. Mereka ada pertahanan dan pemain tengah yang mampu mencipta jaringan.
“Kami perlu berhati-hati dengan keseluruhan pasukan dan lakukan tugasan kami sebaik mungkin,” katanya.-AGENSI











