SEAWAL pukul 9 pagi, lelaki berusia 20 tahun itu telah memulakan kerjanya di sebuah rumah kayu usang yang terletak dalam Kampung Tellian Tengah, Mukah, Sarawak.
Tugas utama Mohd. Afif Safri di rumah yang telah diubah suai menjadi pusat kraftangan komuniti itu adalah memasak air panas menggunakan cerek elektrik.
Air panas yang siap dimasak kemudiannya perlu dituang ke dalam tiga buah baldi yang setiap satunya mengandungi tepung sagu seberat 800 gram.
Campuran berkenaan akan dikacau oleh Mohd. Afif menggunakan kayu sepanjang satu meter sehingga sebati sebelum kain direndam ke dalamnya.
“Tugas saya setiap hari adalah menyiapkan sebatian sagu yang dikenali sebagai linut. Linut ini merupakan medium utama dalam penghasilan batik linut.
“Linut yang telah dikeringkan mampu bertindak sebagai bahan ‘penghalang’ (resist) pada kain apabila diwarnakan sekali gus membantu menghasilkan corak yang menarik,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Pelopor
Mohd. Afif merupakan salah seorang daripada 30 orang terawal dalam komuniti Kampung Tellian Tengah yang berjaya menguasai cara pembuatan batik linut.
Komuniti kampung yang terletak berhadapan Laut China Selatan itu merupakan pelopor utama dalam proses pembuatan batik linut di negara ini.
Mohd. Afif yang berkelulusan sijil rekaan fesyen dari kolej vokasional memberitahu, proses penghasilan batik linut tidak jauh bezanya dengan batik lain.
Ujarnya, proses penghasilan dimulakan dengan kain putih direndam ke dalam sebatian linut secara menyeluruh sebelum dijemur pada cahaya matahari sehingga separa kering.
Kain berkenaan kemudian akan diwarnakan bagi menghasilkan reka corak latar belakangnya sebelum dibiarkan kering. Selepas itu, ia perlu melalui proses ‘mematikan warna’ dengan menggunakan cecair sodium silicate sebelum dibilas dengan air.
Setelah itu, kain akan dikeringkan dan dicetak corak motif dengan menggunakan teknik cetakan sutera saring.
“Setiap hari, kami di sini mampu menghasilkan lebih 10 helai batik linut dengan setiap helai sepanjang empat meter.
“Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada keadaan cuaca. Sekiranya hujan, proses penghasilan batik menjadi lebih perlahan,” terang pemuda yang bercita-cita menjadi usahawan batik linut.
Idea pembuatan batik linut di Kampung Tellian Tengah dicetuskan dan didorong oleh pihak Kraftangan Malaysia (KM) pada awal tahun ini.
Inovasi
Peneraju komuniti batik linut, Diana Rose berkata, komuniti kampung berkenaan sangat bertuah kerana dipilih oleh KM bagi menyertai program Makmal Teknikal Pembuatan Batik Linut itu.
Jelasnya, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti setempat mengenai pembuatan dan rekaan produk siap berasaskan batik linut.
“Batik linut merupakan satu inovasi dan pembaharuan yang dicetuskan oleh KM bagi mempelbagaikan kraftangan di negeri ini.
“Batik ini menggabungkan kelainan dari aspek bahan, teknik, proses dan reka corak sekali gus membantu mewujudkan identiti baharu buat komuniti setempat,” katanya.
Sejak sekian lama, industri batik di negara ini dipelopori oleh usahawan-usahawan kraftangan dari Kelantan dan Terengganu.
Produk batik keluaran negeri-negeri itu telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi kehalusan reka corak latar belakang dan motifnya.
Menurut Diana, keunikan utama batik linut adalah disebabkan proses pembuatannya yang berasaskan tepung sagu yang telah dibancuh bersama air panas bagi menjadikan linut.
Jelasnya, linut digunakan sebagai bahan penghalang bagi menggantikan lilin dalam pembuatan batik komersial.
Dia menambah, linut turut boleh dicampurkan bersama bahan pewarna bagi penghasilan cetakan motif pada kain.
“Linut mempunyai sifat yang sama dengan lilin iaitu menghalang dan boleh ditanggalkan daripada kain apabila kering menggunakan air.
“Kain yang telah disaluti linut apabila diwarnakan akan menghasilkan corak unik dan menarik pada kain,” jelasnya.
Pihak KM memilih Mukah sebagai lokasi pembuatan batik linut disebabkan wilayah berkenaan merupakan pengeluar utama sagu di Sarawak. Ia boleh diperoleh dengan banyak dan murah di sekitar Mukah.
Sagu dihasilkan daripada pohon rumbia iaitu sejenis pokok palma yang tumbuh dan hidup secara meliar di hutan pedalaman atau tepi pantai.
Penduduk tempatan terutamanya suku kaum Melanau dan Bisaya menjadikan pohon rumbia sebagai sumber makanan yang dikenali sebagai lemantak.
“Sagu di sini juga dieksport ke luar negara untuk digunakan dalam pembuatan serbuk perasa, makanan bayi dan ubat-ubatan.
“Kini, sagu boleh digunakan pula dalam pembuatan batik. Ini memberi kelebihan kepada komuniti tempatan untuk terlibat dalam pembuatan batik linut,” katanya.
Cerita Diana lagi, kebanyakan batik linut yang dihasilkan menggunakan motif berkaitan suku kaum Melanau dan alam semula jadi yang terdapat di Mukah.
Katanya, motif yang ditonjolkan adalah seperti butang baju bangkuas, buah mulung dan terendak.
“Batik ini sangat berbeza dengan batik lain dari aspek corak latar belakang dan motifnya. Jadi, kami sedang berusaha untuk mewartakan batik linut sebagai hak cipta penduduk Mukah sebelum dikomersialkan,” tambahnya.
Mudah dijahit
Buat masa ini, batik linut yang dihasilkan oleh komuniti Kampung Tellian Tengah hanya untuk ditawarkan pada Festival Kraf Tekstil Borneo (FKTB) 2019 yang bakal berlangsung pada 12 hingga 21 April ini.
Bagi menjayakan festival yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah itu, komuniti berkenaan telah bekerjasama dengan seorang pereka fesyen tempatan, Abdul Latip Militi, 48.
Abdul Latip telah diberi tanggungjawab untuk mereka dan membuat busana menggunakan batik linut sebagai asas.
Menurut Abdul Latip, batik linut mempunyai keistimewaan tersendiri dari aspek corak latar belakang dan fabriknya juga lebih mudah untuk dijahit.
“Saya dapati corak latar belakang batik linut mempunyai kelainan tersendiri memandangkan cara pembuatannya menggunakan linut.
“Paling penting, pakaian daripada batik linut selesa untuk dipakai dan kelihatan cantik,” ujarnya yang mempunyai pengalaman sebagai pereka fesyen selama sedekad.
Abdul Latip berharap, FKTB 2019 mampu menjadi platform untuk menonjolkan keunikan batik berkenaan kepada masyarakat luar.
Bagi tujuan tersebut, pihaknya telah bersetuju untuk menyediakan pakaian berasaskan batik linut buat tetamu kenamaan sempena FKTB 2019.
“Batik linut juga akan dijual dalam bentuk pakaian siap untuk lelaki dan wanita di samping tekstil kain pasang sempena FKTB 2019.
“Dengan promosi ini, saya berharap batik linut dapat dikenali oleh masyarakat luar dan setanding dengan batik lain di dunia,” tambahnya.
Komuniti Kampung Tellian Tengah telah dipilih oleh Kraftangan Malaysia untuk menjadi pelopor dalam pembuatan batik linut iaitu tekstil yang dihasilkan menggunakan tepung sagu di negara ini.











