Lawatan pertingkat hubungan Malaysia-Myanmar - Utusan Malaysia

Lawatan pertingkat hubungan Malaysia-Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 7 April – Lawatan kerja Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah ke Myanmar bermula hari ini hingga esok menyasarkan untuk mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

SAIFUDDIN ABDULLAH

Wisma Putra dalam kenyataannya memberitahu, lawatan itu juga untuk membuka ruang penglibatan konstruktif Malaysia-Myanmar berhubung perkara berkepentingan bersama dan kerjasama pada masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, lawatan kerja berkenaan akan menjadi lawatan pertama peringkat tinggi ke Myanmar sejak pentadbiran kerajaan baharu Malaysia.

“Semasa lawatan itu, kedua-dua negara antara lain dijangka membincangkan tentang usaha meningkatkan kerjasama antara kerajaan dalam sektor dua hala yang relevan, penerokaan peluang perdagangan dan pelaburan baharu di Myanmar dan sokongan kolektif kedua-dua negara ke arah mencapai objektif ASEAN,” katanya di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra, Menteri Luar dijadualkan bertemu dengan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi; Menteri Kesatuan bagi Kerjasama Antarabangsa, U Kyaw Tin dan Menteri Kesatuan bagi Kebajikan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula, Dr. Win Myat Aye.

Jelasnya, Malaysia juga akan membentangkan pandangannya secara jelas tentang krisis kemanusiaan semasa yang menimpa etnik Rohingya termasuk akauntabiliti terhadap pelaku; proses penghantaran balik secara sukarela, selamat dan bermaruah dan keperluan untuk menangani punca masalah iaitu kewarganegaraan.

“Saifuddin akan turut bertemu diaspora Malaysia di Myanmar termasuk komuniti perniagaan. Beliau juga akan mengadakan dialog interaktif dengan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin agama tempatan mengenai usaha perdamaian di Myanmar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini