MADRID 24 April – Zinedine Zidane berkata, hari ini, La Liga akan menjadi keutamaan Real Madrid, musim depan, selepas secara kiraan matematik mereka kini telah tersingkir daripada pemburuan gelaran dengan hanya lima perlawanan berbaki.
Kemenangan Barcelona ke atas Alaves mengesahkan Real tidak berpeluang untuk merebut mahkota kejuaraan itu setelah keciciran 16 mata di belakang kelab Catalans dengan hanya 15 mata yang masih boleh dikutip.
Meskipun beraksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara, Real, bagaimanapun, hanya memenangi satu gelaran Liga Sepanyol dalam tempoh tujuh tahun, sementara Barca bakal merangkul trofi keempat dalam tempoh lima tahun terakhir, dan yang kelapan bagi 11 tahun terakhir.
“Bagi kami tahun depan, aksi liga mesti diberi keutamaan. Pertandingan yang terpanjang, kami tidak boleh lagi keciciran dan saya akan sentiasa memberi peringatan kepada pemain.
“Ia akan menjadi misi utama kami, tanpa menurunkan nilai dalam pertandingan lain kerana kami akan cuba berjuang untuk berada di depan, tetapi La Liga tetap menjadi misi utama kami,” kata Zidane.
Gelaran La Liga yang ke-26 Barcelona bakal disahkan, malam ini (awal pagi waktu Malaysia), jika Atletico Madrid tumpas kepada Valencia di laman sendiri. Bagaimanapun, sekiranya Atletico berjaya mengelak daripada ditimpa kekalahan, Barca boleh mengesahkan kemenangan mereka jika menang ke atas Levante di Camp Nou, Sabtu ini (pagi Ahad waktu Malaysia).
“Kami memiliki 33 gelaran. Barca bermain dengan baik, saya akan mengakui jika pesaing kami mempamerkan prestasi yang bagus, tetapi dalam sejarah, Real masih memenangi lebih banyak gelaran liga.
“Tetapi mereka bermain dengan baik sejak kebelakangan ini dan kami perlu mengubah dinamik permainan,” kata Zidane. – AFP











