KUALA LUMPUR 26 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengakui berlakunya kenaikan harga barang keperluan di beberapa pasar dan pasar raya negara ini.
Ketua Seksyen Kawalan Harga dan Antipencatutan Bahagian Penguat Kuasa kementerian tersebut, Abd. Hafidz Abd. Rahim berkata, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan kenaikan harga barang antaranya nilai mata wang negara yang lemah.
“Nilai ringgit ketika ini lemah, jika dulu misalnya barang import boleh diperoleh dengan kos RM4 sekilogram, tetapi kini RM6 untuk jumlah yang sama. Maka situasi itu menyebabkan pembekal tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga barang.
“Dalam masa sama, pengeluaran beberapa barangan seperti cili merah dan daging memang tidak mencukupi di negara ini. Cili merah import dari Vietnam telah berkurangan menyebabkan harganya di pasaran meningkat manakala penternakan lembu tempatan pula memang dari dahulu tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut Abd. Hafidz berkata, kenaikan harga ikan kembung pula sama ada bersaiz besar, sederhana atau kecil berpunca daripada kekurangan hasil tangkapan nelayan tempatan ketika ini.
“Ikan kembung bukan ikan setempat, ia berhijrah ikut keadaan laut. Ada tempat yang nelayan tak dapat tangkap ikan kembung dan mereka tidak boleh putuskan untuk menangkap ikan itu sahaja sebaliknya, apa yang dapat, semua angkat ke darat,” katanya.
Jelas beliau, pihak berkuasa bukan mencari alasan dengan kenaikan tersebut tetapi mengambil kira keadaan pengeluar seperti nelayan, penternak dan petani yang turut bergelut dengan kos yang terpaksa ditampung.
“Saya juga pengguna dan turut berdepan dengan harga ikan kembung mencecah RM22 sekilogram di Putrajaya tapi dalam hal ini kena lihat sebab kenaikan itu selain cuba mencari alternatif antaranya membeli ikan segar beku jenama Q’Fish.
“Kami melakukan penguatkuasaan setiap hari di seluruh negara, malah pemantauan harga bukan hanya tertumpu pada barang makanan tetapi barangan lain seperti tong air akibat berlakunya gangguan bekalan di beberapa kawasan baru-baru ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE











