LUMUT – Kementerian Kesihatan menjangkakan projek pembinaan Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh siap selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kompleks tersebut sepatutnya mula beroperasi pada bulan lalu namun ia terpaksa ditangguhkan.
“Kita terpaksa menangguhkan pembukaan kompleks ini berikutan Kementerian Kerja Raya perlu melakukan beberapa perkara lagi termasuk atas faktor faktor keselamatan.
“Kementerian Kerja Raya perlu melaksanakan pengesahan pengujian bagi mengesan masalah yang berlaku untuk diperbetulkan. Jadi kita tangguh atas dasar beberapa perkara yang mereka perlu lakukan untuk memastikan bangunan yang telah siap bukan hanya siap daripada segi keselamatan tetapi dari semua segi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2019 peringkat negeri dan perasmian Kompleks Computed Tomography Scan (CT Scan) di Hospital Seri Manjung di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming.
Dzulkefly berkata, projek pembinaan kompleks berkenaan hanya tinggal satu hingga dua peratus untuk siap sepenuhnya manakala kelengkapan perubatan juga sudah disediakan.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, Kompleks CT Scan yang bernilai RM3.65 juta siap dibina pada 6 Disember 2018 sebelum mula beroperasi pada 10 Disember 2018 dan sebanyak 685 kes pemeriksaan telah dijalankan sehingga 14 Mac lalu.
“Bermula 10 hingga 31 Disember tahun lalu sebanyak 117 kes telah diperiksa menggunakan perkhidmatan ini, manakala dari 1 Januari hingga 14 Mac tahun ini sebanyak 568 kes telah diperiksa.
“Dengan adanya kemudahan ini, ianya dapat jimatkan waktu dan kos tanpa perlu membawa kes ke Ipoh semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan CT Scan,” katanya.
Katanya, ia merupakan nilai tambah kepada perkhidmatan yang sedia ada di Hospital Seri Manjung untuk manfaat masyarakat di daerah berkenaan. – K! ONLINE











