KUALA LUMPUR 26 April- Sempena kehadiran bulan Syawal tidak lama lagi, jenama fesyen terkenal Ariani kembali berkongsi rekaan koleksi terkini.
Memilih tema flora sebagai inspirasi, Ariani Floraya menyediakan lebih 100 pilihan hijab dan busana dengan kombinasi warna, material dan cetakan yang lebih unik untuk koleksi tahun ini.
Selain Ariani Luxe antara jenama yang menjadi pilihan ramai wanita diluar sana setiap kali musim perayaan adalah Ariani Ready-To- Wear (RTW).
Menurut Pengarah Pemasaran Pengeluar Tekstil Ariani, Datin Farah Haryani Muhammad Philip, Ariani RTW kali ini menampilkan 30 daripada 70 koleksi lebaran yang merangkumi kurung moden polos, kurung cetakan moden dan jubah.
Tahun ini juga penerbit dan pelakon Sheila Rusly turut dipilih melengkapkan ikon Ariani RTW bersama pelakon Mira Filzah dan Ayda Jebat.
“Kami memilih Sheila sebagai wakil kepada golongan yang lebih berusia. Berbandig dua lagi ikon Ariani RTW fokusnya kepada mereka yang lebih muda.
“Untuk tahun ini kami juga kami memperkenalkan ukuran baju yang lebih besar dalam menampung permintaan pelanggan kami yang bertubuh besar,” katanya pada sidang akhbar selepas pertunjukkan fesyen Ariani Floraya di sini.
Tahun ini juga Ariani RTW turut memperkenalkan 14 rekaan khusus untuk kanak-kanak berusia satu sehingga 12 tahun.
Selain fesyen yang selesa untuk digayakan, 14 rekaan ini juga memberi kelebihan untuk para ibu untuk tampil sedondon dengan anak masing-masing Syawal ini.
Sementara itu kesemua koleksi ini akan mula di jual mulai hari ini serentak dengan Jualan Murah Pra Ramadan di semua cawangan Galeri Ariani dan Ariani Online. – UTUSAN ONLINE










