KEDATANGAN 1 Syawal tahun ini pasti lebih ceria apabila dapat menyarung pakaian baharu. Ramai yang mula membuat persiapan awal dengan keluar membeli-belah pakaian siap dipakai (RTW-ready to wear). Memandangkan tukang jahit tidak mahu lagi menerima tempahan, maka eloklah kita meninjau mana-mana kedai pakaian. Antara destinasi beli-belah pakaian RTW yang boleh disinggahi untuk tujuan tersebut adalah Zuerey Design yang terletak di Queen Pavilion, Seksyen 7, Shah Alam. Pemiliknya, Azura Hashim berkata, sebanyak 20 rekaan pakaian disediakan khusus untuk Aidilfitri tahun ini.
Menurutnya, kesemua rekaan itu diperbuat daripada fabrik berkualiti seperti batik, songket, lace, tafeeta atau lebih dikenali sutera Thai serta brokad embos.

“Setiap rekaan didatangkan dalam lapan hingga 12 warna antaranya magenta, ungu, lemon, mustard, hijau zamrud, biru navy dan merah tua. Saiz yang disediakan adalah daripada XS hingga XL. Harga pula tidaklah mahal iaitu antara RM150 dan RM259 sepasang,” katanya kepada Mega Rona.
Menurut Azura, harga tersebut amat berbaloi berbanding menempah di kedai jahit yang meletakkan upah yang semakin mahal sehingga mencecah RM130 sepasang bagi kurung pesak. Itu belum termasuk kos kain yang perlu dibeli.
Mengenai jenis fabrik yang digunakan katanya, dia mendapatkan bekalan kain dari India, Indonesia dan China. Kain songket dibeli dari India, batik dan lace dari Indonesia dan brokad dari China.
“Rekaan pakaian lebih kepada yang selesa digayakan untuk menyambut Aidilfitri seperti kurung Riau, kurung pesak, mini kurung dan kurung moden. Potongan ringkas ini memudahkan pergerakan untuk ke dapur atau melayan tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Rekaan tanpa labuci, jahit manik atau jahit sulam membuatkan ia sesuai dipakai ke pejabat atau tempat kerja selepas hari raya. Malah, rekaan ini juga selesa disarung untuk menghadiri majlis rumah terbuka sepanjang Syawal ini,” katanya. Dia memaklumkan butiknya juga menyediakan pakaian untuk majlis bertunang, nikah dan bersanding, selain khidmat tukang jahit untuk tempahan pukal atau dipakai sendiri.











