Kerjaya beri kepuasan - Utusan Malaysia

Kerjaya beri kepuasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERTUGAS dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah pasti terbit keinginan untuk terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan khususnya di negara-negara bergolak.

Banyak pengalaman yang boleh ditimba. Ini kerana wujud perbezaan ketara dari segi latar budaya dan bahasa. Ia juga satu peluang untuk kita berbudi kepada masyarakat selain di negara sendiri.

Itu impian seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Thasra Abdul Rahman yang kini berkhidmat sepenuh masa bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Impian itu tercapai apabila lulusan jurusan Pembangunan Manusia itu dipilih menyertai satu pasukan IRM bagi melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan di Somalia pada awal bulan lalu.

“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk menjalani misi kemanusiaan di luar negara sejak awal saya bertugas di IRM. Jika tidak turun padang, bagaimana kita boleh tahu gambaran sebenar berkenaan isu-isu kemanusiaan.

“Misi ini sangat mencabar memandangkan Somalia merupakan antara negara yang terancam dari segi keselamatan ditambah pula dengan kemarau berpanjangan sehingga tanah menjadi kering-kontang,” katanya ketika ditemui Mega Rona di IRM Bangi, baru-baru ini.

Negara yang digelar sebagai Tanduk Afrika itu kini mendapat perhatian komuniti dunia berikutan krisis kemanusiaan yang disebabkan perang saudara dan bencana alam.

Antara tujuan utama misi itu adalah melawat telaga air yang dibina menerusi kempen Dana Wakaf Air Somalia pada 2017, melawat tempat baharu untuk melaksanakan kempen Dana Wakaf Air Somalia 2.0 dan mengukuhkan hubungan rakan kemanusiaan bersama Islamic Relief Somalia.

Bagi Nur Thasra, bekerja dalam misi kemanusiaan bukan satu kemegahan kerana tidak ramai berpeluang berada di negara bergolak, tetapi ia adalah satu tanggungjawab berat.

“Sekali fikir, bukan semua orang ada pengalaman berada di negara bergolak kerana hanya yang benar-benar berjiwa kental mampu menyahut cabaran tersebut,” katanya.

Kekentalan jiwa itu kata Nur Thasra, amat diperlukan kerana situasi daif dan isu-isu keselamatan di negara bergolak seperti Somalia mampu mengusik emosi sehingga boleh mengganggu tanggungjawab hakiki.

Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita kerana dia mengakui kerap tersentuh hati ketika berada di kem-kem pelarian, tetapi bersyukur kerana cepat menyedari tujuan utamanya menyertai misi tersebut.

“Saya ibaratkan diri sebagai seorang wartawan. Mengumpul maklumat untuk diceritakan kepada rakyat Malaysia supaya mereka tidak hanya lebih prihatin, tetapi mengetahui ke mana hala sumbangan yang mereka berikan itu.

“Antaranya pembinaan telaga air di Balcad yang dibangunkan atas usaha dan penat lelah mereka menerusi pengumpulan Dana Wakaf Air Somalia sekitar dua tahun lalu,” katanya.

Bukan itu sahaja, antara ujian yang tidak boleh dilupakan adalah apabila 
dia terpaksa bertahan selama dua hari berlapar bagi menjaga kesihatan dan mengelakkan wabak penyakit.

“Apatah lagi mereka juga sukar mendapatkan bekalan air bersih bagi menampung keperluan harian. Jika ada sekalipun, air itu diambil dari telaga yang agak kotor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini