KUALA LUMPUR 27 April – Kerjasama di antara UMNO dan Pas perlu merangkumi asas yang lebih luas dengan turut bersandarkan kepada Malaysia yang rakyatnya berbilang kaum dan agama.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menjelaskan, kerjasama UMNO dan Pas mestilah bukan hanya atas prinsip agama dan bangsa tetapi juga atas semangat untuk membantu semua rakyat dengan tidak mengira kaum dan agama.
“Memang betul kerjasama ini bermula atas asas Melayu dan Islam tetapi kerjasama ini mesti merangkumi asas yang lebih luas kerana Malaysia negara majmuk, berbilang agama dan berbilang kaum. Bergabung atas semangat untuk kita bantu dan jaga rakyat yang miskin tak kira kaum dan agama, semangat untuk menjaga perpaduan di negara ini, barulah gabungan ini boleh berjaya.
“Saya mahu melihat bahawa kalau kerjasama ini betul-betul dapat berlaku, ia berada di atas asas yang sejagat, lebih luas daripada hanya agama dan bangsa walaupun itu menjadi teras utama, barulah kita dapat menang,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perpaduan Ummah di Pejabat Pas Kawasan Pendang di Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah malam semalam.
Sementara itu, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO secara sinis berkata, kejayaan paling utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh setahun mentadbir negara adalah apabila berjaya melahirkan kerjasama di antara UMNO dan Pas.
Jelas Khairy, selama 61 tahun sebelum ini Pas dan UMNO saling bersaing dan bertanding dan ia memerlukan satu kuasa yang cukup luar biasa untuk menyatukan kembali dua parti Melayu terbesar tersebut.
“Kejayaan PH paling utama dalam tempoh setahun ini adalah untuk melahirkan kerjasama UMNO dan Pas yang selama 61 tahun berlawan dan bersaing tak pernah mahu bergabung dan berkawan kecuali seketika.
“Ini memerlukan satu kuasa yang luar biasa untuk menyatukan semula UMNO dan Pas dan kuasa itu datang daripada kegagalan PH,” katanya.
Sambil itu, tambah Khairy, kehadirannya di atas pentas ceramah Pas turut disifatkannya sebagai luar biasa kerana banyak pihak mengetahui bahawa beliau merupakan individu yang cukup berhati-hati dalam soal kerjasama di antara UMNO dan Pas.

“Saya dalam UMNO merupakan individu yang paling berhati-hati dari segi kerjasama dengan Pas dan UMNO. Ia bukan hanya bersejarah pada malam ini untuk KJ boleh berucap atas pentas Pas, tetapi saya datang pada malam ini kerana saya rasa, kita tiada pilihan lain, melainkan kerjasama untuk kita tentang PH dalam pilihan raya akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE











