KUALITI pertandingan yang tinggi merupakan faktor utama jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail sanggup melakukan ‘kerja gila’ dengan menyertai tiga kejohanan dalam tempoh seminggu.
Hakimi, 28, mengakui ia sesuatu yang jarang dilakukan oleh mana-mana atlet berprofil tinggi kerana situasi itu mampu mengundang risiko seperti kecederaan dan kepenatan melampau.
Pemegang rekod kebangsaan menerusi catatan 16.77 meter (m) itu tidak kisah asalkan dia dapat bersaing menguji kemampuannya dengan atlet-atlet handalan dalam tiga kejohanan tersebut.
“Saya tidak nafikan sedikit kepenatan selepas menyertai tiga kejohanan dalam tempoh seminggu iaitu sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini.
“Kejohanan saya di Australia memerlukan penerbangan pergi dan balik selama 16 jam. Kemudiannya saya terus ke Singapura dan sekarang menyertai Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia.
“Saya sertai semua kejohanan ini kerana tidak mahu terlepas untuk bersaing dengan atlet-atlet yang mampu mencabar kemampuan saya selain mahu melakukan catatan terbaik.
“Saya risau juga kalau cedera dan sekarang pun agak penat tetapi setidak-tidaknya saya berjaya mencapai matlamat iaitu konsisten dengan lompatan melebihi jarak 16m yang saya tidak dapat lakukan di sini,” katanya.
Pengorbanan Hakimi berbaloi apabila berjaya menjuarai kejohanan pertama iaitu Trek Klasik Queensland pada 23 Mac lalu dengan catatan 16.47m sebelum dia mencatatkan 16.01m untuk mengungguli Terbuka Singapura empat hari lepas.
Faktor kepenatan ternyata menjejaskan rentak Hakimi apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak pada GP Terbuka Malaysia menerusi jarak 16.16m di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Pingat emas menjadi milik Jin Suok-sung dari Korea Selatan yang mencatatkan 16.18m manakala rakan senegaranya, Suhwan Nam meraih tempat ketiga dengan jarak 15.35m.
Kejohanan seterusnya Hakimi yang juga pemegang rekod Sukan SEA ialah Trek dan Balapan Asia (ATF) di Doha, Qatar bulan depan dengan sasaran untuk memenangi pingat pada kejohanan itu.











