KUALA LUMPUR 26 April – Kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung penambahan bilangan kemasukan matrikulasi kurang menyakinkan, malah mengelirukan kerana tanpa hujah berhubung kesannya.
Ketua Biro Perpaduan Kebangsaan Gerakan, H. Puvaniten berkata, kenyataan itu lebih kepada pendekatan ‘menyelamatkan keadaan semasa’ dan bukan jalan penyelesaian yang muktamad.
“Menteri Pendidikan masih gagal menjawab berhubung status pelajar-pelajar cemerlang yang terkandas di dalam proses pengambilan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Puvaniten mengingatkan supaya tidak menjadikan golongan ini sebagai mangsa keadaan kerana kerajaan berubah dan polisi mengikut kerajaan baharu juga berubah.
“Ramai di luar sana yang memperolehi keputusan SPM 10A dan 9A tetapi terpinggir daripada pengambilan ini. Soal terpinggir ini bukan setakat pelajar cemerlang sahaja malah pelajar cemerlang bawah B40 ada yang terpinggir.
“Apa yang kami minta ialah bukti rekod kemasukan pelajar kali ini? Berapa orang pelajar di bawah B40 dan di atas telah diambil?
“Belum sempat menjawab persoalan ini, Maslee sudah memberikan perancangan menaikan kemasukan kepada 40,000 dengan nisbah 90:10,” katanya.
Status pelajar bukan bumiputera yang cemerlang, katanya, masih tersadai dengan alasan bajet dan soal kapasiti kemampuan menampung pelajar.
“Bila semua urusan ini boleh dibuat? Berapa cepat boleh dibuat? Matrikulasi pun sudah bermula. Jangan cuba gula-gulakan kami seperti isu PTPTN. Janji berbagai rupa selepas itu banyak kali pusingan `U’,” katanya.
Puvaniten berkata, kenyataan Maslee juga tidak memikir masa hadapan pelajar STPM dan diploma.
“Sekiranya kemasukkan pelajar matrikulasi naik, bagaimana dengan kemasukan ke IPTA nanti. Akan berlaku ledakan pelajar-pelajar matrikulasi dan akan bersaingan dengan keluaran STPM serta diploma,” jelasnya.
Beliau tidak mahu apa yang sudah berlaku di proses matrikulasi berulang kepada pelajar-pelajar STPM dan diploma di masa hadapan.
Puvaniten berkata, polisi pendidikan yang berunsurkan sistem kuota dan yang terbaharu keutamaan kepada golongan bawah B40 perlu dirombak semula.
Isu pendidikan, katanya, adalah isu nasional dan semua pelajar-pelajar cemerlang harus diberikan keutamaan serta perlu wujud persaingan yang sihat berdasarkan merit.
“Kita tidak mahu kehilangan mutiara bila mereka berhijrah ke luar negara dan bermastautin di luar negara. Kalau begitu negara kita akan kehilangan bakat-bakat cemerlang ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










