KUALA NERUS 29 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengarahkan anggota penguatkuasanya menjalankan pemeriksaan bagi mengesan premis yang menjual cili merah tiruan di sekitar Lembah Klang.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil bagi melindungi kepentingan pengguna sekali gus memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pihak kementerian memerlukan sedikit masa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kesahihan dakwaan cili merah tiruan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
“Bahagian penguatkuasa mempunyai senarai premis menjual cili dan akan membuat tinjauan dan pemeriksaan.
“Tindakan pantas yang kita buat hanya dengan satu niat iaitu mengutamakan kepentingan pengguna. Kalau benar ada insiden itu tindakan segera akan diambil cuma buat masa ini pemeriksaan pihak berkuasa adalah pada tahap pertama yang kita arah lakukan siasatan,” katanya ketika diminta mengulas isu itu.
Baru-baru ini tular rakaman video seorang wanita yang mendakwa terbeli cili merah plastik di sebuah pasar raya di Lembah Klang.
Kisah seumpama itu pernah dilaporkan akhbar pada 28 Disember tahun lalu apabila seorang suri rumah di Kemaman mendakwa terbeli cili merah tiruan di sebuah pasar raya yang dipercayai diperbuat daripada plastik.
Che Ku Maznah Che Engku Awang, 56, dari Kampung Gong Pauh, Chukai mengesyaki cili merah yang dibelinya itu tiruan apabila ia sukar dihiris dengan pisau. – UTUSAN ONLINE











