LONDON – Kem Manchester United dilaporkan sedang bergolak selepas pemain-pemainnya dikatakan saling menyalahkan satu sama lain berikutan kekalahan memalukan kepada Everton minggu lalu.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer telah bersemuka dengan pemainnya dalam bilik persalinan lebih daripada satu jam berikutan kekalahan 0-4 di Goodison Park sebelum keluar meminta maaf kepada para penyokong setia kelab berkenaan di atas persembahan buruk anak-anak buahnya.
Dalam perbincangan tersebut, para pemain United dikatakan bertengkar sesama sendiri, selain turut menyalahkan sesama mereka sehingga pergaduhan tersebut boleh didengar di luar bilik persalinan.
“Kami biarkan pengurus dan barisan kejurulatihan bercakap dan apa yang diluahkan oleh mereka adalah perkara yang benar.
“Kami tidak hormati sesama sendiri, kelab ini dan juga penyokong setia kami. Persembahan kami di atas padang adalah sesuatu yang memalukan buat penyokong dan juga seluruh pasukan ini.
“Kami bukan saja gagal mencatat kemenangan, malah turut gagal menghadiahkan kegembiraan kepada mereka semua. Ia sesuatu yang amat kami kesali. Kami mahu me-lakukannya dengan lebih baik pada masa hadapan dan kami akan buktikannya,” jelas Paul Pogba.
Solskjaer turut mengadakan perbincangan tergempar dengan pemainnya pada sesi latihan di Carrington kelmarin menjelang pertemuan Liga Perdana England dengan Manchester City awal pagi esok sebelum bertemu Chelsea malam Ahad kemudian.
“Apabila kamu bermain dengan kelab ini, kamu perlu memberi segala-galanya dalam diri kamu di atas padang. Kami adalah Manchester United dan kami bermain untuk memenangi trofi. Jadi mereka semua perlu buktikan yang mereka layak berada di kelab ini,” jelas Solskjaer. – Agensi











