Kelantan bergolak lagi - Utusan Malaysia

Kelantan bergolak lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 April – Bola sepak Kelantan menerima tamparan hebat apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW), Fazli Mohammad hari ini meletak jawatan serta merta pada ketika isu tunggakan gaji pemain masih menghantui pasukan itu.

Fazli dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, kegagalan menemui kesepakatan dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) antara sebab beliau berundur.

Dalam kenyataan tersebut, beliau menyenaraikan beberapa perkara yang menyebabkan masalah pasukan Kelantan gagal diselesaikan sehingga hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, selepas perjanjian ditandatangani pada 24 Januari 2019, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan sepatutnya menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada KRW termasuk akaun bank, buku cek, dokumen berkaitan kontrak pemain, kontrak penajaan, hutang dan tunggakan gaji bekas pemain seperti mana tercatat dalam perjanjian, namun perkara itu tidak berlaku.

“KRW sedar segala proses penyerahan pasti mengambil masa bergantung kepada selaju mana pihak Bibi Ramjani dan KAFA menguruskan segala dokumen untuk penyerahan kuasa.

“Saya juga pernah tegaskan dalam satu pertemuan bertarikh 6 Mac bersama Bibi Ramjani; Timbalan Presiden KAFA, Datuk Affendi Hamzah dan Naib Presiden KAFA, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir yang mana saya akan menarik diri serta membatalkan perjanjian yang ditandatangani kerana sudah tidak boleh berkompromi dengan sikap acuh tak acuh dan sikap sambil lewa serta tidak serius KAFA dalam penyerahan kuasa dan dokumen-dokumen seperti yang diminta,” katanya.

Menurutnya, pada 2 Februari, KRW bersetuju untuk meminjamkan sejumlah wang untuk membantu membayar gaji pemain pasukan Liga Perdana Kelantan menggunakan cek akaun syarikat mereka sendiri.

“Selepas itu, KAFA mengatakan segala hutang lama dan gaji pemain yang sedia ada perlu dituntut dengan KRW sedangkan mereka belum menyerahkan segala dokumen dan akaun bank yang masih dikuasai Bibi Ramjani Ilias.

“Tanpa akaun bank dan tanpa buku cek syarikat semestinya tiada kemasukkan wang dan pembayaran dapat diselesaikan yang pasti ia (KRW) tetap dipersalahkan demi menutup kelemahan pihak lain,” katanya lagi.

KRW ditubuhkan dengan kerjasama sebuah syarikat MyInspiration Sdn. Bhd. dan KAFA bagi memantapkan lagi pengurusan bola sepak Kelantan ke arah yang lebih profesional. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini