Keghairahan jenama semula nama projek BN tidak bawa erti - Utusan Malaysia

Keghairahan jenama semula nama projek BN tidak bawa erti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA 25 April – Keghairahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menukar nama menerusi penjenamaan semula projek-projek lalu di bawah Barisan Nasional (BN) hanya sia-sia dan tidak akan membawa apa-apa erti sekiranya gagal membawa kesan lebih baik kepada rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, apa yang lebih penting adalah memberi fokus terhadap komponen sesuatu projek agar memberi lebih nilai kepada setiap wang rakyat yang dibelanjakan.

Kata beliau, apatah lagi apabila projek-projek mega yang melibatkan pelaburan langsung asing (FDI).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau nama sahaja (ditukar) tetapi tidak memberi manfaat buat apa (tiada guna). Sebab itu, kita kaji semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk menurunkan kosnya.

“Berbanding projek ECRL sebelum ini (kerajaan dahulu), hampir 100 peratus konsultan, kontraktor, bahan mentah dan pekerja adalah dari China. Di bawah kerajaan PH, 40 peratus daripada komponen projek diberikan kepada anak tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serahan Sumbangan Iftar Ramadan AIM dan melancarkan tawaran khas bagi skim pinjaman i-Wibawa AIM yang ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM15,000 Cawangan Kubang Pasu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah Kiting dan Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Beliau diminta mengulas penukaran nama idea-idea kerajaan BN iaitu seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Bantuan Sara Hidup (BSH); Klinik 1Malaysia kepada Klinik Komuniti; Permata Negara (Permata) kepada Genius dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) kepada Pusat Komuniti Desa (PKD).

Dan terbaharu, 1Malaysia 4 Youth (iM4U) yang dikendalikan kerajaan BN dahulu dan dijenamakan semula kepada Impact Malaysia.

Sementara itu, Amiruddin meminta parti-parti komponen PH menghormati keputusan jemaah menteri yang bersetuju untuk mengekalkan kuota 90 peratus untuk pelajar bumiputera dan bakinya, pelajar bukan bumiputera dalam isu penempatan ke program matrikulasi.

Beliau berkata, ia selaras dengan visi asal program ini iaitu bagi menggalakkan pelajar bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

Beliau mengulas kekecewaan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy berhubung keputusan Kabinet dalam isu itu.

Menurut Ramasamy, keputusan itu jelas menunjukkan kerajaan PH takut dengan tindak balas daripada masyarakat Melayu atau komuniti muslim dan memutuskan untuk mengekalkan status quo kouta ke program tersebut.

Terdahulu, Skim i-Wibawa merupakan pinjaman mudah kepada ahli AIM yang memerlukan tambahan modal untuk menjalankan perniagaan bermusim khususnya bagi meningkatkan pendapatan semasa Ramadan ini.

Pada majlis itu, sejumlah 489 orang ahli AIM menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas makanan yang kesemuanya berjumlah RM97,800. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini