TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Konvokesyen Ke 24, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur semalam.
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Seramai 664 orang graduan lulus Peperiksaan Sijil Amalan Guaman tahun 2018, melayakkan saudara saudari diterima sebagai pengamal undang-undang di negara ini. Majoriti saudara saudari berada dalam zon usia 25 tahun pertama menempuh perjalanan hidup.
Sepanjang menempuh 25 tahun pertama perjalanan meraut usia, elemen-elemen keluarga, jiran tetangga, rakan seangkatan (peer group), pegangan agama, amalan budaya, pengalaman yang ditempuhi dan tahap pendidikan, telah mempengaruhi minda dan jiwa, lalu membentuk nilai dan etika serta watak dan keperibadian saudara saudari.
Kelulusan undang-undang, menambah satu lagi aset dalam diri saudara saudari. Pengalaman masa dahulu dan pemikiran yang sedang bermain dalam minda saudara saudari ketika ini, akan menjadi kompas, memandu perjalanan saudara saudari untuk melalui 25 tahun fasa kedua perjalanan hidup.
Jika kuasa, kekayaan dan kemasyhuran diri menjadi matlamat paling utama, hatta bersedia menghalalkan apa juga cara asalkan matlamat tercapai, saudara saudari lebih merupakan liabiliti daripada aset kepada negara – dunia.
Negara dan dunia, dikhuatiri akan melalui keadaan yang lebih buruk akibat daripada perbuatan seseorang yang hidupnya berkompas nafsu tamak, bersedia melakukan apa sahaja, termasuk meminggirkan keadilan, melakukan kezaliman, mengorbankan kepentingan umum untuk mencapai matlamat peribadi.
Dalam majlis meraikan kejayaan para peguam muda pada petang ini, amatlah sesuai untuk dikunjungi semula kata-kata hikmat yang diucapkan oleh Sir James Dale Cassels, seorang wartawan, kemudiannya menjadi peguam, hakim dan Ahli Parlimen Britain, ketika menyampaikan ucapan kepada para peguam muda, dalam satu majlis yang berlangsung pada tahun 1937:
Quote:
““Let me say as my first observation to you younger men and women that you are joining an honorable profession. Barristers trust each other and the Court trusts barristers. … Cultivate, therefore, a high sense of honor. The wig and gown that you wear are the hallmark of sincerity. Deception is nor part of your make-up.”
(“Sebagai nasihat beta kepada anda semua yang baru menceburi profesion mulia ini, peguam mempercayai antara satu sama lain, dan mahkamah percaya kepada peguam. Tanggungjawab anda sangat mulia. Jubah yang anda pakai melambangkan keikhlasan. Penipuan bukan pakaian anda.”)
Saudara saudari kini berstatus seorang barrister, diterima menyertai profesion yang memiliki sejarah yang panjang, berstatus tinggi lagi dihormati. Profesion guaman, diasaskan dalam semangat mahu menegakkan keadilan, bersandarkan prinsip melindungi yang lemah dan membela yang tidak bersalah.
Profesion guaman diwujudkan dengan tujuan yang amat murni (noble), dilengkapi kemudiannya dengan pelbagai instrumen urus tadbir, struktur dan organisasi yang tersusun lagi kompleks; memenuhi peranan-peranan penggubalan, penguatkuasaan, pendakwaan, pembelaan dan penghakiman.
Hari ini terhimpun khazanah undang-undang yang terus menimbuni ruang perpustakaan dan dewan kuliah, ruang pejabat dan ruang mahkamah. Dunia tidak ketandusan pengamal undang-undang; bilangan yang memiliki kelulusan undang-undang bukan sahaja terus bertambah, malah tahap pengajian terus diperluas, didalami dan dipertingkatkan, menambah bukan sahaja kompleksiti, tetapi turut membawa pelbagai kontradiksi.
Bilangan pengamal undang-undang yang semakin ramai dan ilmu undang-undang yang semakin kompleks, ketara tidak menjamin jenayah semakin kurang dan dunia semakin tenteram. Apa yang berlaku, adalah di sebaliknya.
Perlakuan jenayah semakin meningkat, lebih dikesalkan, semakin ramai golongan profesional dan terpelajar yang terlibat melakukan jenayah, dan kerosakan akibat perlakuan jenayah berlaku pada skala lebih besar, menyebabkan kesusahan kepada lebih ramai mangsa.
Apabila terdapat ruang yang terlalu luas, membolehkan undang-undang dimanipulasi, dikhuatiri, prosiding dan proses undang-undang boleh terhalang, lantas mewujudkan keadaan yang akan memberi kekebalan kepada pihak-pihak yang memiliki kuasa, dan memberi kelebihan, melindungi pihak-pihak yang memiliki kekayaan.
Senario sebegini mengundang kita untuk melakukan refleksi akan catatan Thucydides ketika berlangsungnya perbahasan yang dikenali sebagai The Mytilenean Debate pada tahun 427 BC, antara Cleon anak kepada Cleaenetus dengan Diodotus anak kepada Eucrates. Cleon anak kepada Cleaenetus menegaskan:
Quote:
“That a city is stronger when it has inferior but unbendable laws than when it has good laws with no real authority. Ignorance coupled with self-restraint is more advantageous than intelligence that knows no checks, and simpler people are usually better than smarter ones at running cities. That is because intelligent people like to appear wiser than the laws and come out on top in public debates, in the belief that there will be no better occasion for demonstrating just how clever they are.
On the other hand, people with less confidence in their own intelligence think that the laws know best and that they are unqualified to criticize the words of a good speaker. They see themselves as judges on equal terms, not as competitors, and so work together successfully. This is why we must not let our own intelligence distract us and behave like contestats in a match of wits by offering dubious advise to you, the members of the public.
(“Pemerintahan menjadi lebih kuat apabila ia mempunyai undang-undang yang digeruni tetapi ia tidak membawa sebarang makna sekiranya tidak dikuatkuasa. Ketidaktahuan ditambah dengan pengekalan diri lebih menguntungkan daripada kecerdasan yang tidak diketahui. Ini kerana orang pandai lebih suka dilihat bijak daripada undang-undang. Mereka sering menjadi juara dalam perdebatan umum, dengan mempercayai itulah tempat paling sesuai untuk memperlihatkan kebolehan.
Sebaliknya, orang yang kurang keyakinan dalam diri mereka beranggapan bahawa undang-undang adalah yang terbaik dan mereka tidak layak untuk mengkritik pemidato hebat. Mereka melihat diri mereka sebagai hakim dalam istilah yang sama, bukan sebagai pesaing, justeru bekerjasama dengan jayanya. Itulah sebab kita tidak harus membiarkan kebijaksanaan mengalih perhatian dan berkelakuan seperti peserta dalam pertandingan dengan memberi nasihat meragukan kepada anda, orang awam.”)
Kata-kata tersebut diungkapkan oleh Cleon, lebih 2,400 tahun yang lalu; kata-kata tersebut masih relevan, malah wajar diimbas semula, dalam hasrat dan usaha mahu meletakkan etika yang mulia lagi tinggi dalam kalangan pengamal undang-undang, agar semangat menegakkan keadilan dapat dipenuhi dalam erti kata yang sebenar.
Negara Malaysia yang lebih baik, insya-Allah akan dapat diwujudkan, jika prinsip ketiga dan prinsip keempat Rukun Negara, ia itu, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang diberikan nafas, dihayati dan dihormati pada setiap masa, serta urus tadbir negara dilaksanakan secara jujur – secara telus, dengan amanah dan berintegriti berpaksikan undang-undang, (the rule of law).
Mereka yang telah diberikan amanah dengan kuasa, jawatan dan kedudukan, kini memiliki peluang untuk membina sebuah negara Malaysia yang lebih baik berpaksikan undang-undang.
Peluang yang telah diberikan hendaklah digunakan sepenuhnya oleh para pengamal undang-undang untuk melakukan penambahbaikan kepada apa juga kelemahan yang pernah berlaku, membetulkan apa juga kepincangan yang telah dipolemikkan, dan meningkatkan keyakinan serta kepercayaan rakyat kepada sistem, proses dan instrumen undang-undang di negara ini.
Jika peluang yang telah diberikan oleh rakyat, tidak disambut secara positif – secara aktif, secara bermakna lagi meyakinkan, untuk melakukan penambahbaikan, rakyat akan beranggapan bahawa perubahan yang berlaku, hanya daripada segi pemegang watak, jika watak-watak yang baharu, masih membaca skrip yang lama.
Hari ini merupakan hari yang bersejarah dan bermakna bagi para lulusan Sijil Amalan Guaman kerana impian saudara saudari untuk menjadi seorang peguam telah tercapai.
Hari ini merupakan hari untuk saudara saudari, ibu bapa, suami-isteri, kaum keluarga dan sahabat handai meraikan kejayaan, bergembira dan bersyukur, kerana usaha saudara saudari dan pengorbanan, sokongan serta doa ahli keluarga telah dimakbulkan.
Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan, semoga kejayaan ini menjadi pendorong kepada pencapaian kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan.
Beta menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli-ahli Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang serta pejabat Lembaga, kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman sebagai penentu tahap dan kelayakan yang berkualiti dan berprestij.











