JPJ Terengganu kesan taktik baharu elak kamera AWAS di LPT2 - Utusan Malaysia

JPJ Terengganu kesan taktik baharu elak kamera AWAS di LPT2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu membongkarkan perbuatan sesetengah pemandu menutup atau membuang angka di plat pendaftaran kenderaan bagi mengelak dikesan menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Pengarahnya,  Zulkarnain Yasin berkata, perbuatan itu dikesan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 dan pemandu membuang angka paling belakang pada nombor plat terbabit.

“Selain mengelak AWAS, ia juga bertujuan mengelirukan pihak penguat kuasa. Setakat ini kita masih belum ada statistik berapa kenderaan yang terlibat kerana taktik seumpama ini baru sahaja dikesan di LPT 2,@  katanya pada sidang media Ops Tertutup Kemaman hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata satu jawatankuasa penyelarasan melibatkan JPJ Pahang, Kelantan, Terenggau serta Jabatan siasatan dan penguatkuasaan trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu telah mengadakan mesyuarat Rabu lalu bagi menangani masa tersebut.

Sebanyak dua kamera AWAS dipasang di dua lokasi negeri ini iaitu di Perasing dan susur keluar Kijal (Exit Kijal).

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, bagi kesalahan tersebut pemilik kenderaan boleh didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1897 kerana memalsukan nombor plat kenderaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Dalam perkembangan lain, Zulkarnain berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan  ke atas 54,043 kenderaan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, 12,908 pemilik kenderaan dikesan telah melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada perlindungan insurans, cermin gelap, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan sebagainya.

“Dalam tempoh itu juga, JPJ Terengganu telah mengeluarkan sebanyak 11,932 saman dan 16,521 notis kepada pemilik kenderaan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini