HIMPUNAN Perpaduan Ummah Pahang anjuran bersama UMNO dan Pas malam ini (Jumaat 26 April) tepat pada masanya ekoran senario sosio-politik semasa yang dilihat agak mencabar khususnya terhadap kehidupan umat Melayu-Islam di negara ini.
Bertepatan pula dengan lokasi himpunan di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dan Padang MPK 1, Kuantan, di bumi Pahang yang mula tergerak kerjasama sebenar UMNO-Pas hingga Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands Januari lalu.
Susulan itulah BN terus menang pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor dan terbaharu PRK DUN Rantau di Negeri Sembilan yang disandang oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, Timbalan Presiden UMNO yang menjalan tugas Presiden.
Mesej utama yang hendak disampaikan menerusi penganjuran perhimpunan yang dijangka menarik kehadiran antara 10,000 dan 15,000 orang ini ialah betapa perpaduan umat Melayu-Islam di negeri dan negara ini adalah jitu.
Dengan kejituan itulah diharap dapat memberi isyarat yang jelas agar Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dapat lebih terbuka dalam mentadbir negara terutama dengan mengambil kira sensitiviti majoriti kaum di negara ini iaitu Melayu.
“Sepatutnya kekal ‘status-quo’ dengan dasar-dasar dan program pembangunan berkaitan dengan kepentingan-kepentingan dan hak keistimewaan orang Melayu,” kata Rahmat (bukan nama sebenar), yang dijangka turut menyertai perhimpunan tersebut.
“Namun, apa yang dilaksanakan oleh kerajaan PH sejak mengambil-alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 seolah-olah terlalu liberal hingga orang Melayu berasa tergugat.
“Orang Melayu terutama di negara ini pula bukanlah kaum yang zalim sehingga hendak kaum-kaum lain dipinggir atau dianiaya. Ini memang sangat difahami dan diketahui oleh semua,” kata Rahmat lagi.
Bahawa kerajaan PH kelihatan terlalu liberal ketika ini adalah nyata terutamanya yang berkenaan jabatan dan agensi-agensi berkaitan Melayu seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Begitu juga dalam isu tertentu termasuk berkaitan kematian pegawai bomba – Muhammad Adib Mohd. Kassim serta afidavit Peguam Negara mengenainya yang dipertikaikan dan terbaharu ialah ratifikasi terhadap Statut Rom yang kemudian ditarik balik atas kemahuan Majlis Raja-Raja.
Oleh kerana sikap yang terlalu liberal itulah juga dipercayai kini, siri demi siri penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu termasuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semakin menjadi-jadi di media sosial.
Ekoran itu, kerajaan Pahang pimpinan BN telah mengenakan peraturan tambahan kepada pihak berkuasa tempatan, jabatan atau agensi berkenaan yang mensyaratkan kelulusan permit dan lesen perniagaan yang hendak dikeluarkan kepada pemohon;
“Hendaklah pada setiap masa menunjukkan hormat dan taat setia kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong”.
Ketidakpatuhan atau pelanggarannya seperti mana ditegaskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail boleh menyebabkan permit dan lesen perniagaan berkenaan tidak diberi atau ditarik balik.
Namun, kononnya atas dasar ‘liberalisme’, peraturan tambahan inipun turut dipertikaikan sesetengah pihak termasuklah menerusi sidang pengarang sebuah akhbar berbahasa Inggeris milik parti komponen BN sendiri.
Sedangkan, sepertimana yang dijelaskan oleh Wan Rosdy, peraturan tegas itu diambil sebagai langkah preventive dan deterrent agar tertanam dalam diri setiap rakyat khususnya peniaga di negeri ini.
Ini supaya semua sentiasa peka akan keperluan menghormati dan mempertahankan kedaulatan Raja kita.
Oleh sebab itulah Himpunan Penyatuan Ummah Pahang malam ini sangat penting, yang bermula pada pukul 7 petang serta dijangka berakhir 11.30 malam dan pesertanya diminta hadir berpakaian putih.
Bermula dengan solat Maghrib disusuli solat Isyak serta solat Hajat berjemaah, program turut meliputi persembahan nasyid serta bacaan sajak sebelum ucapan disampaikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad dan Wan Rosdy sendiri serta Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosly Abd. Jabar.
Program akan diteruskan dengan majlis menandatangani Deklarasi Perpaduan Ummah oleh keempat-empat tokoh berkenaan, sebelum berakhir dengan bacaan selawat beramai-ramai yang dipimpin oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu.
Oleh itu jom kita hadir ke Himpunan Perpaduan Ummah Pahang malam ini.











