KUALA LUMPUR 4 April – Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf untuk menduduki Sijil Amalan Guaman (CLP) atau tidak hanya mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan juga kepada mereka yang bakal mengambil peperiksaan berkenaan.
Ini kerana kerajaan dilihat masih belum mengiktiraf UEC, tetapi pada masa sama Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) dikatakan telah membenarkan lulusan-lulusan berkenaan menduduki peperiksaan tersebut menjelang Januari 2021.
Sehubungan itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendesak kerajaan supaya segera menyatakan pendirian sama ada UEC diiktiraf atau sebaliknya.
“Amat tidak munasabah jika LPQB menolak pemegang-pemegang UEC daripada menduduki CLP. Pada masa dahulu, ramai pelajar UEC mendaftar masuk ke universiti-universiti swasta untuk mengambil ijazah undang-undang dan memperoleh CLP.
“Ini menunjukkan bahawa pemegang UEC berkemampuan. Tetapi mengapa kerajaan menjadikan isu ini sukar untuk mereka (lulusan UEC)?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa keputusan untuk mengiktiraf UEC hanya boleh dibuat kerajaan.
Dr. Mahathir berkata, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat LPQB bagi mengiktiraf sijil itu hanyalah pendapat mereka sahaja.
Dominic dalam pada itu menggesa kerajaan supaya membenarkan pemegang-pemegang UEC untuk mengambil CLP bagi meningkatkan bakat-bakat perundangan dalam negara.
Pada masa yang sama, katanya, beliau meminta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching supaya tidak lagi mengelirukan rakyat jika UEC masih tidak diiktiraf.
“Ia masih mengelirukan jika untuk menduduki CLP, masih memerlukan lima kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia manakala graduan UEC masih tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











