KUALA LUMPUR 30 April – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan semua pihak bahawa Islam tidak pernah meletakkan seseorang raja, Perdana Menteri mahupun Presiden mengatasi undang-undang negara.
Beliau berkata, dalam Islam, Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasulullah bagaimanapun tidak berlagak seperti tuhan yang perlu disembah sehingga menjadikan rakyat sebagai hamba abdi serta harta negara milik peribadi.
Kata beliau, dalam Islam jelas menegaskan bahawa ketua negara berada di bawah kuasa undang-undang walaupun seorang rasul dilantik secara langsung apatah lagi yang dilantik sesama manusia.
“Banyak bukti sejarah Islam meletakkan ketua negaranya sama ada yang bergelar Raja, khalifah, imam atau amir tidak berkuasa mutlak dan berada di bawah kuasa undang-undang, menolak dengan tegas konsep adanya seseorang atau kumpulan yang mengatasi undang-undang negara.
“Maka muliakan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan, sepatutunya undang-undang yang ditulis wajiblah maha tinggi dan mengatasi Raja atau Perdana Menteri mahupun Presiden,” katanya seperti dipetik dalam tulisannya yang disiarkan Harakahdaily di sini hari ini.
Tulisan tersebut bagaimanapun tidak menamakan atau merujuk kepada mana-mana pihak tertentu namun, dilaporan ketika situasi politik negara menyaksikan perselisihan antara Kerajaan Persekutuan khususnya membabitkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamd dengan golongan istana berhubung isu melibatkan konvensyen dan undang-undang antarabangsa. – UTUSAN ONLINE











