MEMPUNYAI raut wajah seperti penyanyi Indonesia, Tulus, Ippo Hafiz tidak melihat ia satu jalan mudah untuk dia membina nama di negara seberang.
Jelasnya, dalam keadaan sekarang dia perlu menampilkan sesuatu yang berbeza dalam memastikan namanya diterima di negara itu.
Sudah mengatur strategi, ketika ini kongsi Ippo, dia juga sudah menjalinkan kerjasama dengan komposer terkenal Indonesia untuk lagu pertamanya yang akan dilancarkan di sana tahun hadapan.
“Kalau nak kata wajah saya mirip Tulus, saya anggap ia sebagai satu pujian. Tetapi kalau mahu bandingkan saya dengan Tulus dari segi pencapaian rasanya terlalu jauh sebab kita tahu Tulus sudah bertaraf antarabangsa.
“Malah apa yang membezakan kami juga adalah jenis muzik yang dibawa. Memang dalam dunia hiburan setiap penyanyi perlu mempunyai keunikan tersendiri dalam memberikan kepuasan berbeza kepada peminat,” jelasnya.
Melihat Indonesia sebagai lokasi untuk melebarkan karier muziknya, ketika ini kesibukan membataskan Ippo untuk bereksperimen di negara asing.
Kata penyanyi ini, mengikut rencana dia hanya boleh melancarkan lagu di Indonesia pada tahun hadapan.
“Saya menggunakan khidmat komposer yang sama dengan Tulus. Sebenarnya sejak dua tahun lepas saya sudah menghubunginya untuk bekerjasama. Semuanya berlangsung atas talian sahaja.
“Setakat ini lagu berjudul Vanilla sudah hampir 70 peratus siap dan ini akan menjadi lagu pengenalan untuk saya di Indonesia kelak,” katanya.
Tidak mahu terus dikaitkan dengan Tulus, Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 30, yakin ada perbezaan yang mahu ditampilkan kepada peminat muzik Indonesia.
“Saya suka dengan persaingan dan apa yang boleh saya lihat ketika ini hanya melalui karya sahaja kita akan dikenali.
“Sebab itu saya berharap agar karya saya diterima di sana sekali gus menjadikan perjalanan seni saya di sana lebih indah,” jelasnya.

Lebih kurus
Kelihatan lebih kurus, ternyata penampilan terkini penyanyi ini juga mencuri tumpuan ramai. Kehilangan hampir 40 kilogram daripada berat asal, kongsi Ippo, kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil yang cukup memuaskan hati.
“Hampir setahun lebih juga saya mengamalkan gaya hidup sihat. Tidak sekadar mengawal pengambilan makanan, saya juga melakukan senaman.
“Sebenarnya saya perlu mengurangkan 10 kilogram lagi untuk mendapatkan berat yang saya mahu,” katanya.
Berkongsi perjalanan kisahnya untuk mendapatkan berat diingini, kongsi Ippo, selain semangat yang tinggi dia juga kini merupakan pemilik kepada produk minuman yang membantu pengguna untuk mendapatkan berat badan ideal.
“Saya juga menjadi duta kepada produk minuman berasaskan coklat ini. Bagi saya lebih baik wajah saya yang mewakili produk ini memandangkan saya merupakan pengguna dan pemiliknya,” katanya.
Bukan sekadar untuk mendapatkan penampilan yang lebih menarik, kata Ippo, sebagai penyanyi juga dia memerlukan keyakinan di atas pentas.
“Memang bila kurus saya lebih yakin untuk beraksi di atas pentas. Bagi saya ada kelebihan bila kurus,” jelasnya.

Kahwin
Bakal melangsungkan perkahwinan pada 24 Ogos ini, kata Ippo, buat masa ini segala persiapan untuk hari bahagianya itu sedang dilakukan.
Malah, antara sebab dia berusaha untuk menurunkan berat badannya juga bagi mendapatkan gambar perkahwinan yang lebih cantik.
“Selain untuk diri sendiri, niat untuk menurunkan berat badan juga adalah demi perkahwinan sebab saya mahu gambar kahwin saya nanti nampak lebih cantik.
“Buat masa ini kedua belah keluarga memang sedang melakukan persiapan untuk majlis kami yang akan berlangsung 24 Ogos depan,” katanya.
Bercakap mengenai bakal isterinya, Ippo akui buat masa ini dia yakin Fara sudah lebih selesa untuk berhadapan dengan media.
“Kalau untuk majlis biasa seperti ini saya memang tidak akan ditemani pihak pengurusan, jadi saya bawa Fara.
“Walaupun malu tetapi rasanya Fara tidak ada masalah dan selesa, cuma adakalanya perlu dipujuk juga,” katanya lagi.











