MILAN 2 April – Penyerang Inter Milan, Mauro Icardi akan kembali beraksi, esok, selepas hampir dua bulan dipinggirkan ekoran drama yang tercetus berhubung perbalahan rundingan kontrak pemain itu, bagi membantu kelab Serie A tersebut bersaing merebut slot ke Liga Juara-Juara, musim depan, kata jurulatih Luciano Spalletti, hari ini.
Penyerang Argentina itu dilucutkan jawatannya selaku kapten pada 13 Februari lalu, ekoran perbalahan tentang kontrak pemain itu dengan kelab telah disebarkan isteri Icardi, Wanda Nara yang juga ejennya menerusi media sosial dan televisyen. Pemain itu juga tidak beraksi sejak Inter menewaskan Parma beberapa hari sebelum isu tersebut tersebar.
Dia turut diketepikan sewaktu Inter tewas 0-1 kepada pesaing bagi merebut slot Liga Juara-Juara, Lazio dalam aksi hujung minggu sebagai hukuman di atas perbalahan yang berlaku, malah, Spalletti menyifatkan ia sebagai sesuatu yang memalukan, meskipun tersebar khabar angin pemain itu bersedia diturunkan.
“Situasinya sekarang ialah Mauro perlu sekali lagi membantu pasukan. Dia akan bermain sejak awal permainan kerana dia mempamerkan tindakan balas yang betul.
“Dia menjalani sesi latihan dengan baik sejak beberapa hari lalu, dan jika pemain berada dalam skuad, dia perlu bersedia membantu pasukannya. Darah, peluh dan air mata diperlukan sewaktu anda menyarung jersi kami,” kata Spalletti pada sidang akhbar menjelang perlawanan menentang Genoa, esok. – AFP











