PASIR PUTEH – Guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor, di sini dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan 15 ibu bapa seawal pukul 8 pagi untuk bersama warga sekolah menyambut Hari Guru, hari ini.
Mereka masing-masing membawa baldi, cecair pembersih dan kain pengelap.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Hisyam Daud berkata, ia adalah sebahagian kejutan yang dirancang jawatankuasa PIBG tanpa pengetahuan guru.
Menurutnya, ia melibatkan ibu bapa murid Tahun Enam sebagai simbolik menghargai jasa guru yang mendidik anak-anak dari darjah satu hingga darjah enam.
“Kami sempat mencuci kesemua 46 buah kereta cikgu termasuk empat buah motosikal.
“Kerja mencuci kenderaan dimulakan ketika semua guru bersama 268 murid berkumpul di medan perhimpunan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Guru Besar sekolah itu, Zurina Ripin ketika ditemui berkata, ini adalah kali pertama kehadiran ibu bapa secara berkumpulan untuk sama-sama beraktiviti menyambut Hari Guru peringkat sekolah.
“Kami hanya sedar apabila mereka selesai membasuh kenderaan dengan menggunakan peralatan yang dibawa sendiri,” katanya – K! ONLINE











