Hukuman MFL terlampau berat - Utusan Malaysia

Hukuman MFL terlampau berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak bersetuju dengan hukuman sekatan perpindahan pemain yang dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana perkara tersebut akan merosakkan skuad Warga Kota.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa memohon MFL mempertimbangkan bentuk hukuman yang diberikan memandangkan pihaknya tidak sanggup menanggung beban beberapa pemain yang cedera dan bergaji tinggi.

“Berkenaan sekatan perpindahan pemain, kami tidak setuju kerana proses tersebut penting buat pasukan. Ini kerana, kami perlu mengeluarkan pemain-pemain yang cedera daripada terus menyimpan dan membayar gaji mereka yang pastinya membebankan pasukan.

“Kami tidak mampu menanggung gaji pemain-pemain import yang tinggi dan sebab itu kami memohon MFL membenarkan KLFA membuat pertukaran pemain. Ini merupakan cadangan kami kepada MFL agar tidak melakukan sekatan perpindahan pemain kepada Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, MFL diharap tidak mengenakan denda terlalu berat sehingga memotong 50 peratus geran tahunan kepada kami,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan antara Kuala Lumpur dan Perak di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Nokman menambah, pihaknya turut meminta MFL supaya mempertimbangkan semula bentuk hukuman yang telah diputuskan supaya tidak terlalu membebankan sekali gus melancarkan perjalanan skuad Warga Kota mengharungi sai­ngan Liga M musim ini.

Terdahulu, Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada tujuh pasukan yang dikenakan hukuman oleh MFL atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Nokman juga memberitahu, pasukan Kuala Lumpur telah melepaskan seorang pemain import, Sylvano Comvalius dan berharap MFL memberi kebenaran untuk mengisi kekosongan kuota tersebut berbanding melakukan sekatan ke atas pasukan itu.

“KLFA sudah selesai berbincang de­ngan Comvalius untuk melepaskannya. Perkhidmatannya dengan Kuala Lumpur juga telah ditamatkan hari ini (kelmarin).

“Jadi, jika MFL tidak memberikan pelepasan untuk kami mencari pengganti, ia akan memberi kesukaran kepada pasukan. Jadi, beri kami peluang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×