Guru rugi RM75,000 dua kenderaan diparkir di kediaman hilang - Utusan Malaysia

Guru rugi RM75,000 dua kenderaan diparkir di kediaman hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang guru mengalami kerugian kira-kira RM75,000 apabila dua kenderaan miliknya dilarikan penjenayah dalam satu kejadian pecah rumah di Lengkok Tambun Permai, Tambun di sini awal pagi semalam. 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, lelaki berusia 58 tahun itu menyedari kenderaan lasak pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan kereta jenis Peugeot 207 itu yang diletakkan di tempat letak kereta rumahnya hilang pada pukul 4.30 pagi. 

Katanya, menurut mangsa, dia meletakkan dua kenderaan tersebut pada pukul 6.30 petang kelmarin. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keesokannya, mangsa telah bangun untuk ke bilik air dan dia mendapati kedua-dua kenderaan tersebut masih ada di tempat letak kereta. 

“Bagaimanapun selepas dia terjaga dari tidur sejam kemudian, dia mendapati dua kenderaan tersebut telah hilang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi. 

Tambah Mohd. Ali, mangsa mendapati jeriji besi pintu masuk rumahnya telah terbuka serta pintu pagar rumah juga terbuka luas walaupun dia telah menguncinya sebelum itu. 

“Mangsa juga mendapati kunci kenderaannya yang disangkut di dinding juga telah hilang.

“Pemeriksaan polis mendapati ada kesan umpil pada pintu rumah, namun tiada barangan berharga lain yang hilang dari rumah tersebut,” katanya. 

Katanya, suspek disyaki memecah masuk rumah dan hanya mengambil kunci dua kenderaan tersebut sebelum melarikannya. 

“Tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah mangsa dan tiada saksi bebas dalam kejadian tersebut. 

“Mangsa juga tidak menyedari kejadian pecah rumah atau mendengar bunyi penggera dan enjin kenderaan dihidupkan,” katanya. 

Menurutnya lagi, mangsa tinggal bersendirian di rumah itu dan kedua-dua kenderaan yang dilarikan itu tiada masalah bayaran tertunggak. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kediaman,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini