KUALA LUMPUR 3 April – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mendedahkan surat tawaran daripada syarikat guaman di Hong Kong yang berhasrat membeli Bangunan Malaysia di negara tersebut.
Beliau berkata, syarikat guaman tersebut menawarkan harga sebanyak RM1.68 bilion dan bukannya RM1.6 bilion seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Jelasnya, tawaran itu diterima selepas syarikat berkenaan mengetahui kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan menjual bangunan tersebut menerusi tender terbuka.
“Hari ini saya nak tunjuk bukti surat, sebenarnya saya ada silap sikitlah. Saya sebut RM1.6 bilion sebenarnya harga yang ditawarkan adalah RM1.68 bilion.
“Ini adalah sebuah syarikat guaman dari Hong Kong, tawarkan sampai RM1.68 bilion. Itu beza secara hitam putih,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Walau bagaimanapun, Guan Eng yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, tawaran itu diterima selepas syarikat berkenaan mengetahui kerajaan akan menjual bangunan tersebut menerusi tender terbuka.
“Saya rasa kita akan lakukan (tender terbuka) melalui syarikat pakar hartanah yang akan menguruskannya. Kita akan melalui proses, ini satu daripada proses permulaan tender terbuka,” katanya. – UTUSAN ONLINE











