SHAH ALAM – Permintaan yang tinggi terhadap gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam menjadi penyebab warga tersebut sanggup kembali ke negara ini memberikan perkhidmatan kepada lelaki hidung belang.
Perkara itu terbongkar menerusi serbuan pukul 11 malam dilakukan Jabatan Imigresen Selangor di sebuah pusat hiburan di Klang, semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, hasil risikan mendapati GRO warga Vietnam lebih manja dengan memberikan layanan mesra berbanding warga asing yang lain.
Katanya, semakan awal mendapati mereka akan berada di negara ini selama sebulan menggunakan pas lawatan sosial sebelum pulang ke negara asal.
“Dalam serbuan itu, kita telah menahan 16 GRO Vietnam atas pelbagai kesalahan Imigresen hasil pemeriksaan terhadap 40 individu di pusat hiburan tersebut.
“Kita tidak menolak pusat hiburan itu menawarkan taktik kalungan bunga kepada GRO namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya juga masih menyiasat keuntungan diperoleh oleh seorang GRO Vietnam tersebut melalui perkhidmatan ditawarkan mereka bagi satu malam di pusat hiburan tersebut.
Jelas Mohamad Shukri, hasil siasatan awal mendapati GRO Vietnam ini akan memasuki semula ke negara selepas tiga bulan bagi mengelak aktiviti tidak bermoral itu dikesan pihak berkuasa.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan menerusi serbuan sehingga pukul 1 pagi itu turut menahan seramai 21 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India sekitar daerah ini termasuk di asrama penempatan mereka.
“Terdapat sebahagian PATI ini terdiri pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara PLKS) sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan namun bekerja di kedai runcit dan makanan,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – K! ONLINE











