Geng Mat Kedah jual air ketum lumpuh - Utusan Malaysia

Geng Mat Kedah jual air ketum lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kelicikan sekumpulan lelaki warga tempatan dikenali sebagai Geng Mat Kedah yang menjalankan aktiviti penjualan air ketum siap diproses tidak berpanjangan apabila diserbu pihak polis dalam satu operasi di Taman Medan di sini kelmarin. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, serbuan telah dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berdasarkan maklumat yang diterima berhubung kegiatan penjualan air ketum.

“Hasil risikan yang dilakukan, kami telah menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun di sekitar Petaling Jaya kira-kira pukul 10 pagi pada 22 April lalu kerana masing-masing memiliki sebotol air ketum. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil soal siasat yang dilakukan telah membawa pihak polis ke sebuah rumah teres satu tingkat di Taman Medan yang dijadikan sebagai tempat memproses air ketum,” katanya pada satu sidang akhbar di IPD Petaling Jaya di sini. 

Menurut Ku Mashariman, susulan serbuan ke atas rumah tersebut, seramai empat lelaki tempatan termasuk tuan rumah berusia 54 tahun yang juga merupakan ketua kumpulan itu telah berjaya ditahan. 

“Tiga lagi yang ditahan berusia 17 hingga 30-an yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan air ketum di rumah tersebut. 

“Turut dirampas adalah sebanyak 120 botol air ketum bernilai RM2, 400 serta beberapa peralatan memproses air ketum seperti periuk, empat unit dapur gas serta empat buah silinder gas memasak,” katanya. 

Jelas beliau, kumpulan tersebut dipercayai telah aktif beroperasi sejak enam bulan lalu dan memperolehi bekalan daun ketum daripada sebuah negeri di Utara tanah air untuk diproses menjadi minuman sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar kawasan Petaling Jaya dengan harga kira-kira RM20 sebotol. 

“Kumpulan ini mampu menjual kira-kira 60 ke 70 botol air ketum sehari dan hanya menjual kepada pelanggan yang dikenali bagi menyembunyikan kegiatan mereka daripada pihak berkuasa. 

“Semua yang ditahan kini direman sehingga 24 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” tegas beliau.  – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini