KUALA LUMPUR 25 April – Gangguan bekalan air yang masuk hari kedua hari ini tidak menjejaskan operasi beberapa pusat tahfiz di sekitar Sri Petaling dan Sungai Besi di sini kerana mempunyai tangki simpanan air yang mencukupi.
Pegawai bertugas di Madrasah Miftahul Ulum Sri Petaling dekat sini berkata, walaupun bekalan di madrasah itu sudah terputus sejak semalam, simpanan air dalam tangki masih boleh digunakan oleh pelajar dan kakitangan.
“Gangguan kali ini tidak menjejaskan penggunaan air di sini kerana kami mempunyai tangki simpanan yang agak besar.
“Namun kami tetap memperingatkan 40 pelajar di sini supaya menggunakan air dengan cermat sementara menunggu bekalan air pulih,” katanya ketika tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pusat tahfiz yang mengalami gangguan bekalan air, hari ini.
Guru di Madrasah Tahfiz Quran Al Muttaqin Sungai Besi, Muhammad Yusuf Abu Samah, 30, berkata, kawasan madrasah itu tersenarai dalam gangguan bekalan air namun gangguan tidak berlaku setakat hari ini.
“Jika bekalan terputus sekali pun, kami sudah membuat persediaan awal kerana mempunyai tangki simpanan besar di blok bangunan dan dua buah tong besar di atas dewan.
“Kami hanya mempunyai 12 pelajar di asrama ini dan kadar penggunaan air tidak begitu tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











