Gagal pinda perlembagaan, umpama undi tidak percaya kepada kerajaan - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Gagal pinda perlembagaan, umpama undi tidak percaya kepada kerajaan – Khaled Nordin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 10 April – Kegagalan memperoleh undi dua pertiga bagi meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak bukan sahaja memalukan, malah boleh ditafsir sebagai undi tidak percaya kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan semalam itu juga memberi tamparan hebat kepada kerajaan PH kerana adalah sangat jarang untuk sesuatu usul pindaan Perlembagaan gagal.

Menurutnya, kegagalan itu juga memperlihatkan bagaimana kerajaan PH tidak mengadakan proses rujukan atau rundingan yang jelas, teratur dan mencukupi sebelum usul dicadangkan termasuk tidak merujuk kepada Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana sudah menjadi norma kerajaan PH membuat sesuatu usul secara tergesa-gesa sekali gus melaksanakan sesuatu tanpa kajian, rundingan dan pendekatan inklusif.

“Dan ternyata tindakan itu membuatkan kerajaan PH hilang wibawa dan terus mengalami kesusutan kepercayaan yang signifikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, amalan kerajaan PH itu tidak seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tidak akan membawa apa jua pindaan jika tidak yakin akan mendapat jumlah undi yang mencukupi terutama melibatkan pindaan perlembagaan.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan PH mendapatkan mandat melaksanakan pindaan yang menepati aspirasi sebenar dan kesetaraan selayaknya untuk Sabah dan Sarawak menuntut pertanggungjawaban daripada barisan kabinet.

“Justeru, menteri yang bertanggungjawab harus mengambil langkah bermaruah untuk meletakkan jawatan atas episod yang sangat memalukan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini