KUALA LUMPUR 10 April – Konflik kepentingan membabitkan Felda didakwa bertambah buruk apabila Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mempunyai kuasa eksekutif sebagai Pengerusi Felda.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, audit forensik mendapati konflik kepentingan dalam pengurusan amat ketara apabila Mohd. Isa memegang jawatan Pengerusi dalam Felda, Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) dan FGV Holdings Berhad.
Ketika membentangkan Kertas Putih pemulihan Felda di Dewan Rakyat hari ini, Mohamed Azmin melabelkan Mohd. Isa sebagai FO1.
“FO1 juga memegang jawatan Pengerusi untuk 39 anak syarikat di bawah Felda dan FGV. Konflik kepentingan bertambah buruk apabila FO1 juga mempunyai kuasa eksekutif sebagai Pengerusi Felda.
“Sebagai contoh, pembelian Park City Grand Plaza Kensington di London dibuat oleh FO1 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda dengan harga yang melebihi kadar pasaran dan gagal mengikut dasar pelaburan yang ditetapkan.
“FO1 membeli aset ini pada harga RM331 juta sedangkan harga pasaran ketika itu hanyalah RM128 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE










