KUALA LUMPUR 10 April – Warga Felda boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion untuk menyelesaikan pelbagai masalah kewangan dan kebajikan peneroka serta urus tadbir Felda.
Antara kegunaan peruntukan itu adalah anggaran RM2 bilion untuk menghapuskan kadar faedah pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil yang dibebankan kepada peneroka.
Kerajaan juga meluluskan sebanyak RM250 juta bagi tahun 2019 untuk menyiapkan 4,794 unit rumah dalam projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang tahap kemajuannya 70 peratus dan ke atas yang terbengkalai sekian lama tanpa pembelaan daripada kerajaan lama.
Kerajaan juga telah meluluskan sejumlah RM480 juta untuk tujuan pembiayaan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil Bagi tahun 2019.
Felda juga mahu melahirkan peneroka yang mahir dan inovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian dan ternakan yang menggunakan teknologi baharu seperti pertanian pintar untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil sawit.
Menerusi usaha tersebut peneroka diramalkan mampu menjana pendapatan baharu yang bernilai tinggi melalui hasil tuaian dalam tempoh yang singkat.
Bagi melaksanakan rancangan tersebut kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM1 bilion untuk tempoh empat tahun.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih itu di Dewan Rakyat hari ini berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mengambil peduli tentang masalah peneroka Felda dan masa depan Felda.
“Kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan bagi melaksanakan inisiatif-inisiatif yang disebutkan,” katanya.









