KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk menyelidik kesahihan lima pemain yang telah dimaklumkan ejen mempunyai darah kacukan Malaysia yang sedang beraksi di luar negara.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberitahu beliau bersetuju untuk berjumpa dengan ejen berkenaan disebabkan mendapat perkhabaran bahawa pemain berkenaan mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.
“Bukan sahaja jurulatih mendapat emel setiap hari, tetapi FAM dan saya juga dapat perkara yang sama daripada ejen pemain.
“Hari ini saya akan berjumpa satu ejen sahaja yang mengatakan dia mempunyai lima pemain kacukan Malaysia yang bermain di luar negara yang beliau mahu berikan nama berkenaan kepada saya.
“Saya tidak tahu sama ada ia benar atau tidak, selepas perjumpaan dilakukan baru saya tahu kesahihannya.
“Mungkin beliau dari Eropah serta mempunyai maklumat yang FAM tiada dan disebabkan ada sumber-sumber kebangsaan menyebabkan saya bersetuju untuk membuat perjumpaan dengannya,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (WFS) di Petaling Jaya sebentar tadi. – K! ONLINE











