DIANGGARKAN plastik mampu kekal di dalam persekitaran marin selama 450 tahun atau lebih lama lagi dan saban hari permasalahan itu semakin parah.
Bagi menangani cabaran tersebut, National Georaphic bertindak melancarkan komitmen global Planet or Plastic?
Matlamat utamanya adalah bagi menghalang satu bilion bahan plastik daripada memasuki laut.
Bagi menunjukkan komitmennya, National Geographic akan meneruskan acara tahunan mereka iaitu Earth Day Run dengan tema Planet or Plastic?
Acara larian yang akan berlangsung pada 28 April ini merupakan sebahagian daripada sambutan Hari Bumi untuk mencetuskan kesedaran mengenai pencemaran plastik dan sekali gus mengurangkan bilangan plastik.
Earth Day Run mendapat kerjasama daripada Gamuda Land, Fox Sports, Stadium Astro, Nivea Men, Touch ‘n Go eWallet, Fitness First dan Zero Waste Malaysia.
Bertempat di Gamuda Walk Mall, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, larian itu terbuka kepada tiga kategori utama iaitu 15 kilometer (km), 5km dan 2km.
Buat julung-julung kalinya, Earth Day Run memperkenalkan kategori larian 2km secara eksklusif bagi Gamuda Parks Junior Rangers berusia enam hingga 13 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Gamuda Land, Ngan Chee Meng berkata, pihaknya menyokong usaha National Geographic dalam menjadikan planet kita sebagai sebuah tempat yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Ini adalah selari dengan satu daripada nilai jenama Gamuda Land iaitu membina bandar kami dengan mengutamakan alam semula jadi dan alam sekitar.
“Gamuda Land sentiasa menggabungkan kehijauan, taman dan tasik ke dalam perbandarannya sejak tahun 1995,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Wilayah FOX Networks Group Malaysia dan Singapura, Vineet Puri berkata, Hari Bumi adalah detik tepat untuk mengetengahkan isu alam sekitar berkaitan perubahan iklim, pencemaran plastik dan kesejahteraan kehidupan laut.
“Sehubungan itu, mengetengahkan isu ini menerusi acara-acara seperti Earth Day Run adalah penting kepada keharmonian alam semesta.
“Kami menyeru semua pelari menyertai acara ini sebagai tanda sokongan dan menolak pencemaran kepada bumi,” ujarnya
Acara larian tersebut akan menjadi platform yang cukup berkesan untuk berkongsi inisiatif Planet or Plastic? kepada masyarakat.
Orang ramai yang ingin menyertai National Geographic Earth Day Run boleh melayari lama web www.natgeoearthdayrun.com.











