BERSETUJU untuk tidak bersetuju. Bunyinya indah dan kelihatan bijak. Namun apabila berkuasa dan menjadi menteri, semuanya kena penyakit sama, seolah hanya dia sahaja yang betul.
Boleh difahami kemarahan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah terhadap sekumpulan ahli akademik yang memberi pandangan berbeza kepada raja-raja Melayu berhubung keputusan kerajaan menandatangani Statut Rome.
Apatah lagi terpaksa menarik balik persetujuan itu kira-kira sebulan selepas menandatanganinya. Ini memang satu ‘tamparan’ dan dalam amalan negara demokrasi mungkin ada yang melihatnya perlu diakhiri dengan seseorang melepaskan jawatan.
Namun membalas balik tindakan sekumpulan ahli akademik tersebut dengan memberikan gelaran profesor kangkung tentunya tidak mencerminkan prinsip kebebasan bersuara yang diketahui ramai dijunjung tinggi Saifuddin sejak beliau dalam UMNO lagi.
Bagi sesiapa yang dilatih dalam bidang perundangan pula, mereka didedahkan bahawa tidak akan ada jawapan muktamad kepada setiap permasalahan undang-undang. Boleh jadi A, boleh jadi B.
Semuanya bergantung kepada hujah. Sebab itu dalam mahkamah ada pendakwa dan ada pembela. Siapa meyakinkan hakim, maka dia lah yang menang.
Maka tidak pelik apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH), Dr. Abdul Aziz Bari, yang juga bekas pensyarah undang-undang perlembagaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tidak bersetuju dengan gelaran diberikan Saifuddin biar pun berbeza pandangan dengan kumpulan ahli akademik tersebut.
Seperti mana Abdul Aziz, disiplin undang-undang perlembagaan dan undang-undang antarabangsa yang dimiliki empat pensyarah yang digelar ‘profesor kangkung’ oleh Saifuddin itu adalah bidang yang khusus dengan tidak ramai menjadikannya sebagai forte.
Lagi pun bukan hanya Malaysia tidak menandatangani Statut Rome untuk menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Hampir 100 negara belum berbuat demikian termasuk kuasa besar. Yang menyertainya pun ada menarik diri dan ICC sendiri berdepan kritikan hebat.
Justeru, menyanggah mereka yang tidak bersetuju secara fakta adalah hak Saifuddin tetapi memberi gelaran buruk, itu harus dijauhi. Dalam Islam mengingatkan kepelbagaian pandangan adalah rahmat dengan perbezaan perlu diuruskan dengan hemah.
Justeru, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik tidak boleh berdiam diri. Sanggupkah membiarkan pensyarah kanan beberapa universiti awam itu dilabel ‘profesor kangkung’? Di mana kredibiliti universiti-universiti Malaysia jika dibiarkan diperlekeh sebegitu yang juga mungkin boleh dianggap sebagai dibuli.
Jika Dr. Abdul Aziz pun tampil menyatakan berbeza pendapat dengan Menteri Luar dalam soal profesor kangkung, tak kan Dr. Maszlee sanggup merelakannya. Jadi jangan berdiam diri. Mengikut telunjuk bukan ciri-ciri ahli akademik apatah lagi dalam era Malaysia baharu.-UTUSAN ONLINE











