Dokumentari 'kembara' pemulihan Azran - Utusan Malaysia

Dokumentari ‘kembara’ pemulihan Azran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pagi Ahad, 27 Mei 2018 mencatatkan episod hitam dalam diari hidup lelaki berusia 47 tahun itu. Tatkala menjalani latihan berbasikal di sekitar Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai atlet triatlon amatur, Azran Osman Rani terlibat nahas yang nyaris meragut nyawanya.

Tersiarlah di dada-dada akhbar, tajuk berita tentang atlet merangkap ahli perniagaan terkenal itu yang berbunyi: Bekas CEO AirAsia-X cedera kemalangan. Azran dilanggar sebuah kereta bergerak laju dan dirinya yang langsung tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans.

Anak jati Kuala Lumpur yang turut berdarah India-Sri Lanka dan Cina itu mengalami pendarahan dalam otak, keretakan tengkorak, siku kanan, tulang kaki kanan serta kecederaan mata kanan selain luka-luka di seluruh badan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia dimasukkan ke dalam wad unit rawatan rapi (ICU) neuro untuk diuji sejauh mana memori dan kefungsian otaknya. Sesiapa sahaja yang melihatnya barang kali akan sukar untuk menjangka nasibnya sama ada masih mampu menceburi kembali sukan triatlon yang melibatkan berbasikal sejauh 180 kilometer (km), renang sejauh 3.8km dan larian 42km itu atau sebaliknya.

Namun, Azran berjaya membuktikan dirinya mampu bangkit daripada kecederaan itu serta menyertai kejohanan bertaraf dunia Ironman yang berlangsung kurang enam bulan dari hari kemalangan itu. Kisah pemulihannya daripada kecederaan yang penuh inspirasi itu dirakamkan dalam dokumentari terbaharu, A Broken Crayon (Krayon Patah) yang disiarkan di laman Iflix.

Azran berjaya bertanding dalam Kejohanan Ironman 70.3 di Langkawi pada November 2018 dan masih mampu mencatatkan tempoh masa 5 jam 57 minit hanya kurang 10 minit daripada catatan masanya dalam kejohanan sama pada tahun sebelumnya.

Parut

Terdahulu, beberapa minggu sebelum kejadian, dirinya telah bertanding dalam kejohanan Ironman di Vietnam dan telah layak untuk ke kejohanan dunia.

A Broken Crayon yang disiarkan sejak 11 April lalu adalah dokumentari berdurasi kira-kira 30 minit berkenaan ketabahan dan keazamannya untuk menyempurnakan Kejuaraan Dunia Ironman 2018 kurang daripada enam bulan selepas kemalangan.

Dalam dokumentari itu juga, doktor yang merawatnya sempat mendedahkan bahawa dirinya masih memikirkan untuk menyertai triatlon meskipun dalam kecederaan.

“Kalau hendak dikatakan sembuh atau pulih 100 peratus itu tidaklah, sekarang pun masih belum. Bahu saya masih rasa keras. Tapi, selepas 84 hari saya sudah kembali menyertai satu acara berbasikal dan selepas 118 hari saya dapat berenang semula,” akui Azran tentang keadaannya pada masa ini ketika dihubungi K2 menerusi e-mel baru-baru ini.

Bagi lelaki yang merupakan cucu kepada wira perang menentang Jepun dan komunis, Leftenan Hassan Yassin itu, parut-parut kekal di seluruh tubuhnya akibat kemalangan itu mengingatkan dirinya tentang keperitan fizikal dan siksaan mental yang diharunginya dalam proses penyembuhan atau pemulihan yang sukar.

Mengimbas kembali mengenai kemalangan itu, Azran berkata, ia berlaku semasa melakukan latihan untuk menguji alat menukar gear elektronik baharu pada basikalnya. Lazimnya, jika melakukan latihan, dia akan melakukannya pada jarak 80 hingga 200km, tetapi pada hari itu dia cuma berlatih pada jarak 8km dari rumahnya di Hartamas.

“Sewaktu melintasi satu jalan di sekitar Jalan Duta, sebuah kereta datang ke arah saya dengan laju. Mungkin dia tidak nampak saya. Selepas itu, saya langsung tidak sedarkan diri kerana dilanggar dengan kuat dari belakang.

“Ambulans bawa saya ke HKL dan saya ditempatkan di ICU neuro. Hari ketiga saya pindah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk mendapatkan rawatan ortopedik sehingga seminggu sebelum pulang ke rumah.

“Sejujurnya, semasa awal di hospital, saya berasa sedih dan murung. Banyak perkara bermain dalam fikiran. Saya mungkin tidak dapat lagi bersukan, tidak tahu sama ada saya akan kembali pulih seperti biasa, sama ada rancangan saya untuk bangunkan perniagaan baharu berkenaan sokongan kesihatan mental, Naluri Hidup perlu dihentikan. Saya juga risau siapa yang akan menjaga dan menanggung anak-anak dan isteri saya,” kata bapa kepada tiga cahaya mata lelaki itu.

Krayon

Katanya, semangat untuk bangkit itu antaranya hadir kerana mahu menyampaikan mesej kepada anak-anaknya, Khairil, 19; Mikhail, 15, dan Aqil, 11, bahawa hidup ini tidak boleh lari daripada risiko dan tidak kira seteruk mana musibah yang melanda, kita perlu bangkit setelah ‘jatuh’ dalam mencapai apa yang dicita-citakan.

Kekuatan juga hadir dengan sokongan insan-insan di sekelilingnya terutama para doktor dan isterinya, Azreen Pharmy, 47.

Terdahulu semasa pelancaran A Broken Crayon di Kuala Lumpur, Azran menjadikan krayon sebagai metafora tentang kehidupan dan apa yang dilakukannya itu.

“Hidup kita ini umpama sekotak krayon. Kita boleh menjadi krayon yang sempurna dengan hanya mendiami kotak, tetapi tugas krayon adalah untuk mewarna. Jadi kita memang perlu keluar, sekalipun krayon itu mudah patah sebaik digunakan, tidak seperti pensel warna, krayon masih boleh mewarnai dunia meskipun patah,” ungkapnya penuh makna.

Dia turut berkongsi keperitan yang dilaluinya apabila keadaannya sangat teruk dengan keseimbangannya terjejas serta adakalanya tidak mampu bernafas. Doktor yang merawat bahagian kepala, mata dan tulangnya berkata, dia sedikit bertuah kerana hanya beberapa milimeter menyelamatkannya daripada kondisi yang teruk seperti buta dan lumpuh.

Degupan

Azran menjalani rawatan dan sesi fisioterapi yang tidak terhitung. Pada hari ke-25 Azran sudah menggagahkan dirinya untuk menjalani latihan berbasikal dalam bangunan atas seliaan seorang jurulatih.

“Waktu itu dirasakan untuk mengayuh basikal selama 15 minit pun terlalu payah, bukan sahaja sakit, tapi ia kenyataan yang terlalu perit untuk ditelan.

“Tapi, tidak mengapa, saya jadikan ia sebagai penanda aras untuk saya menyasarkan 20 minit pula minggu hadapannya,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Naluri Hidup Sdn. Bhd. itu seperti yang dikongsikan dalam dokumentari tersebut.

Kemudian pada hari ke-47 dia sudah boleh berlari di mesin larian sebelum membuat keputusan untuk berlari di jalanan di luar rumah. Dia menyertai satu acara larian pada 27 Julai 2018 sebelum menyertai satu acara berbasikal diikuti kembali berenang sehinggalah menyertai Ironman semula pada November.

“Semasa menyertai triatlon Ironman itu, pada zahirnya mungkin orang melihat saya ceria dan kuat, namun ada masanya berasa terlalu sakit dan tidak berdaya.

“Tetapi saya menguatkan diri dengan berlari lebih cepat supaya saya dapat mendengar degupan jantung saya lebih kuat sekali gus mengingatkan diri bahawa saya masih hidup,” katanya.

Azran menjelaskan kepada K2 bahawa menghadirkan semangat diri bukanlah mudah dan ia bukan suatu yang linear. Tidak wujud situasi seseorang itu sakit atau jatuh dan kemudian terus berlaku peningkatan semangat sedangkan hidup ini adalah berkenaan semangat yang turun naik tetapi memerlukan berkali-kali kebangkitan.

“Ada hari kita rasa elok dan bersemangat, tetapi keesokan harinya murung kembali. Naik dan turun. Jadi bukanlah ‘kembali bangkit’ itu bermaksud kita mampu bersikap dan berfikiran positif berterusan. Sampai sekarang pun, ada hari semangat naik dan hari lain, semangat turun. Itulah yang perlu diketahui.

“Tak ada pelajaran lain. Tak ada teknik yang dapat hidupkan ‘suis’ untuk terus menerus menguatkan semangat dan rasa pulih. Yang penting ialah bangkit setiap kali jatuh,” katanya.

Kisah keazaman ahli perniagaan dan atlet triatlon, Azran Osman Rani untuk bangkit kembali menyertai kejohanan Ironman tidak sampai enam bulan selepas parah dilanggar kereta diabadikan dalam dokumentari A Broken Crayon.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini