Doan Thi Huong balik kampung 3 Mei - Utusan Malaysia

Doan Thi Huong balik kampung 3 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 April – Wanita Vietnam yang dihukum penjara tiga tahun empat bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan mencederakan lelaki korea Utara, Kim Jong-nam, dua tahun lalu akan dibebaskan pada 3 Mei ini.

Doan Thi Huong, 30, sebelum ini berhadapan tuduhan membunuh lelaki itu dijangka dibebaskan daripada Penjara Wanita Kajang pada pukul 9 pagi hari tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Thi Huong berkata, anak guamnya akan pulang ke kampung halaman hari sama dengan menaiki penerbangan Vietnam Airlines pada sebelah petang.

Pada 1 April lalu, wanita tersebut mengaku bersalah atas tuduhan alternatif menyebabkan kecederaan terhadap Jong-nam menggunakan bahan berbahaya iaitu agen saraf, VX di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang dekat sini kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari 2017.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dendan atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan tertuduh pertama, Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Jong-nam, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Kedua-dua wanita itu sebelum ini didakwa atas tuduhan membunuh Jong-nam, 45, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini