MONTE CARLO, Monaco 19 April – Pilihan utama, Novak Djokovic dan Rafael Nadal tidak menunjukkan sebarang belas kasihan ke atas lawan mereka untuk mara ke suku akhir pada kejohanan gelanggang tanah liat Masters Monte Carlo, semalam.
Djokovic yang merupakan pilihan pertama, melebarkan rekod tanpa kalah ke atas pemain Amerika Syarikat (AS) kepada sembilan perlawanan berturut-turut selepas membelasah Taylor Fritz 6-3, 6-0.
“Satu cabaran besar bermain dalam keadaan (berangin) seperti ini. Lawan saya pula kerap memukul bola rendah. Hanya selepas pertengahan permainan, baru saya rasa selesa untuk mencatat kemenangan,” kata pemain Serbia itu yang kali terakhir tewas kepada pemain AS di Wimbledon 2016 kepada Sam Querrey.
Raja gelanggang tanah liat, Nadal pula menewaskan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov 6-4, 6-1 dalam aksi yang dianggap perlawanan ulangan separuh akhir, tahun lalu.
“Kemenangan ini penting kerana Grigor pemain berbakat besar dan sentiasa mendatangkan bahaya kepada saya. Satu aksi yang positif buat saya memandangkan saya baharu pulih daripada kecederaan,” kata pemain pilihan kedua dari Sepanyol itu.
Nadal yang terpaksa berehat sebulan selepas mengalami kecederaan lutut dijadual menentang pemain Argentina, Guido Pella selepas ini. Pella mara selepas menundukkan pemain Itali, Marco Cecchinato 6-4, 4-6, 6-4.
Sementara itu, pilihan ketiga, Alexander Zverev ditunjukkan jalan keluar selepas kalah kepada pemain Itali, Fabio Fognini 6-7, 1-6. Begitu juga dengan naib juara tahun lalu, Dominic Thiem tunduk 3-6, 3-6 kepada pemain Serbia, Dusan Lajovic. – AFP











