KUALA TERENGGANU 3 April – Kerajaan negeri memutuskan untuk mengkaji semula dasar perumahan swasta di Terengganu termasuk projek Rumah Mampu Milik (RMM) bagi membantu pihak pemaju yang mengadu mengalami kerugian ekoran syarat ketat yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, proses mewujudkan dasar baharu itu dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

Beliau seterusnya berharap supaya dasar baharu yang bakal dilaksanakan itu akan memberi perkhidmatan lebih ‘mesra’ kepada golongan pemaju tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka melaksanakan projek perumahan RMM di Terengganu.
“Saya ambil keputusan untuk kaji semula dasar ini dan kita telah adakan bengkel, dalam masa terdekat ini kita akan keluarkan dasar baharu yang kita harap akan beri lebih kemesraan kepada pemaju,” katanya ketika menjawab soalan Ab. Razak Ibrahim (Pas-Air Putih) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini, kerajaan masih mengguna pakai dasar perumahan untuk projek pembinaan rumah swasta di negeri ini sejak tahun 2017.
Menurutnya, pihaknya mengakui sejak mengambil alih pemerintahan kerajaan Terengganu pada Mei tahun lalu telah menerima aduan pihak pemaju bahawa dasar perumahan sedia ada tidak memberi keuntungan kepada mereka.
“Yang jadi isu adalah harga rumah mampu milik yang terpaksa mereka tanggung adalah berbeza nilai sebenar dengan yang mereka bina dengan harga ditetapkan kerajaan,” katanya.











