KUALA LUMPUR – Saksi kedua perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. RM42 juta menafikan bahawa dia memberikan kenyataan yang tidak benar semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi.
Saksi itu yang juga Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, berkata demikian selepas menjawab ketika pemeriksaan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib pada hari keempat perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali di sini hari ini.
Dalam soalan yang dikemukakan, Harvinderjit, bertanya adakah saksi itu menerima apa-apa taklimat dari mana-mana pihak untuk hadir ke perbicaraan ini dan tidak memberikan keterangan secara benar, Azizul menjawab “tidak”.
Terdahulu semasa prosiding , isu berhubung laporan polis turut dibangkitkan apabila peguam itu mendakwa saksi itu membuat laporan polis yang salah berhubung siasatan dibawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Kamu (saksi) telah pergi ke H.S Lee (balai polis) untuk buat report (laporan) dan mengatakan kesalahan disyaki bawah Seksyen 4, maknanya pada 10.04 malam, kamu telah mengetahui siasatan dijalankan dibawah seksyen itu, dari mana tahu?,” soal Harvinderjit.
Azizul yang berada dalam kandang saksi kemudian menjawab ia adalah berdasarkan dokumen-dokumen yang dirampas, dan berdasarkan semua dokumen itu, beliau telah memasukkan seksyen tersebut.
Berdasarkan jawapan balas saksi itu, peguam itu kemudian menyoal lagi saksi itu adakah dia merupakan seorang pegawai penyiasat dalam kes tersebut, namun saksi itu menjawab “tidak”.
“Saya tidak ingat bagaimana keputusan (memasukkan Seksyen 4) itu dibuat,” katanya.
Perbicaraan masih lagi berjalan.
Pasukan pendakwaan diwakili Peguam Negara, Tommy Thomas, Datuk Sulaiman Abdullah, Datuk V. Sithambaran, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Donald Joseph Franklin, Datuk Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Manoj Kurup, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.
Pasukan pembelaan pula diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh Muhammad Farhan Shafee, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abidin, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Shafee Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.
Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.
Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE











